Pages

Monday, August 30, 2010

Sebuah Kedai Buku di Taman Tun & Seorang Amin Djamaluddin

Ada sebuah kedai buku berdekatan dengan sebuah restoran di Taman Tun, amat gemar saya kunjungi. Saya boleh menghabiskan waktu berjam-jam di kedai kecil tersebut kerana buku-buku Islam yang dijualnya sangat bagus pada saya, praktikal, menarik dan sukar saya temukan di tempat lain. Saya beli buku-bukunya, selain mengambil panduan untuk diri sendiri, banyak dari buku-buku di situ saya hadiahkan pada kawan-kawan.

Namun baru-baru ini, seorang teman menyampaikan bahawa kedai buku tersebut kepunyaan seseorang yang begitu banyak ’mendera’ rasa di hati saya, saya tiba-tiba menjadi tawar hati untuk terus berkunjung...

Alangkah ruginya apabila ada api permusuhan ditiupkan di hati... saya merasainya, melaluinya. Saya ingin gagahi hati untuk memaafkan, ingin terus ke situ, membaca dan berkongsi dengan teman-teman, namun apabila hati sedikit tercalar, langkah jadi berat dan kaki tak mampu lagi melangkah. Ilmu yang ingin saya cari, dari buku-bukunya yang bagus, tersekat. Terasa betapa ruginya saya.

Saya ingin ke sana lagi. Kali ini ia bukan sekadar untuk terus membeli buku-bukunya, namun ia menjadi langkah penyempurnaan jiwa ke atas diri saya ... beruntunglah saya jika mampu menundukkan hati saya dan saya akan termasuk orang yang gagal jika tidak mampu mengawal kesombongan yang ada dalam diri saya sendiri. Hanya pada Allah tempat saya berpaling dan minta dikasihani atas segala apa yang tidak mampu saya lakukan.

Itu hanya kisah sebuah kedai buku... Bagaimana dalam perkara yang lebih besar sepertimana yang sedang kita hadapi saat ini?

Kebencian kerana ilmu yang berbeza, parti yang tidak sama dan negara yang berlainan dengan kita. Sedangkan kita umat yang sama, umat Rasulullah saw.

Telah terlalu banyak perpecahan sesama kita berlaku. Betapa ruginya ummah yang begitu dahagakan apa yang ingin kita bawa... teruskanlah dengan kelas-kelas pengajian kita, teruskanlah menghasilkan buku-buku yang baik untuk merawat jiwa masyarakat, teruskanlah dengan ceramah-ceramah yang mendidik peribadi... mungkin cara kita berbeza tetapi jalannya sama. Kita ingin berlumba-lumba berbuat kebaikan, kita bukan ingin menambah kacau fikiran masyarakat dengan pengisian berbaur benci dan sakit hati, memerangi perkara yang tidak jelas salahnya, mencari bukti atas dosa yang kita sangkakan ada pada orang lain sehingga kita terlupa untuk melihat diri kita sendiri.

Kita menganggap apa yang kita lakukan adalah sebuah perjuangan yang benar. Bahawa nanti dengan ilmu yang kita ada, kita akan menjawab dengan baik atas segala apa yang kita kerjakan di dunia, di hadapan Allah. Benarkah kita benar?

Jangan tiupkan lagi api kebencian dan permusuhan ini, merasa diri kita benar dan orang lain salah... sedangkan seorang Rasulullah sendiri beristighfar setiap waktu...

Lalu, saya ada pertanyaan untuk Bapak Amin Djamaluddin, Pengurus Majelis Ulama Indonesia (MUI) yang Sabtu lepas berada di Kuala Lumpur... disebut latarbelakang pengalamannya yang luas, menggunakan title dan ’kredibiliti’ di MUI, apa tujuan ke sini? Menyatakan pendirian yang berbeza dengan atasannya Bapak dan menimbulkan soal pada atasan sendiri? Apa cerita sebenar di balik petisi yang prakarsanya Bapak sendiri? Apa juga cerita di Bekasi? Dan bagaimana ESQ bersikap terhadap usulan Bapak? Ada 5 perkara yang kami catat, namun Bapak terus berbicara, sedangkan Bapak tahu apa kebenarannya...

Jangan datang ke sini untuk membawa benci. Cukuplah perpecahan ini. Cukuplah menyebar salah yang kita sendiri tidak pasti. Cukuplah keresahan dan kekeruhan ini sehingga mata tidak lagi mampu melihat kebaikan sesama kita, kekuatan yang kita boleh saling manafaatkan, untuk kita bantu umat ini, untuk kita jadi lebih baik di sisi Allah di setiap saat dalam hidup kita.
Datanglah ke sini dengan membawa perdamaian, dengan membawa bendera mahabbah umat Rasulullah saw.

Allah Berfirman dalam Surah Al-Anfal: ayat 73 yang bermaksud;

"Dan orang-orang yang kafir, sebagian mereka melindungi sebagian yang lain. Jika kamu tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah (saling melindungi), niscaya akan terjadi kekacauan di bumi dan kerusakan yang besar”

Sudah jauh kita berjalan... semoga hidup tak sia-sia. Semoga jua kita mendapat ampunanNya.

Saturday, August 28, 2010

Forum “ Wajarkah ESQ diharamkan” anjuran Yayasan Taa’lim

(Saya mula menulis topik ini, semalam 17 Ramadhan, namun baru hari ini sempat menghabiskan).

Hari ini 17 Ramadhan, kita kenang hari ini dengan hati yang tunduk dan jiwa yang sedar. Hari ini hari peperangan Badar, hari Rasulullah saw dan para sahabat merelakan tubuh mereka dilukai, berperang dengan sepenuh jiwa, untuk menegakkan Islam... mereka rela mati agar iman boleh dinikmati di dalam dada kita, umatnya.

Dengan iman ini, kita diajar untuk saling mengasihi. Kita dididik untuk mencontohi akhlak Rasulullah saw...

Imam al-Ghazali pernah berwasiat bagi menjaga kemurnian akhlak, janganlah kita suka berbahas dengan seseorang mengenai sesuatu perkara seboleh yang mungkin kerana ia lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan. Ia adalah punca akhlak buruk seperti riya’, hasad dengki, bermusuhan, bangga diri dan sebagainya. Jika terpaksa juga berbahas, maka kita mesti mempunyai 2 tanda pada niat dalam hati kita, iaitu:

a. Kita mengakui sesuatu kebenaran tidak kira ia berada di sebelah kita atau pihak lain

b. Kita lebih suka mencari kelemahan sendiri daripada mencari kelemahan orang lain

Justeru itu, setelah dipanggil berjumpa pihak berwajib, dan setelah kami menganjurkan forum terbuka ”Tanyakan langsung pada Pengasas ESQ” yang telah dihadiri oleh lebih 700 orang di Flamingo Hotel bulan sudah, kami diminta untuk tidak lagi menganjurkan forum terbuka. Kami sendiri merasakan cukuplah sekali membincangkan hal ini secara terbuka.

Sebagaimana kami menghormati keputusan JK Muzakarah Fatwa Kebangsaan, kami juga menghormati keputusan warta YBSS Mufti Wilayah Persekutuan. Fatwa Kebangsaan telah membenarkan ESQ terus berjalan dengan bantuan Panel Shariah dan Akidah kami. YBSS Mufti WP melarang ESQ diadakan di Wilayah Persekutuan. Kami terima kedua-dua keputusan. Namun, apa yang lebih penting daripada semua ini adalah kami tidak ingin akhlak buruk dan imej Islam sendiri tercalar, apatah lagi ini soal khilafiah, perselisihan pandangan ulamak.

Lalu ketika menerima undangan daripada Yayasan Taa’lim untuk menghantar panel ke forum ”Wajarkah ESQ diharamkan?”, saya balas dengan rasa hormat atas pertimbangan banyak perkara. Saya menyatakan bahawa kami akan mengadakan forum tertutup dan akan segera memaklumkan kepada Yayasan Taa’lim. Kita akan adakan diskusi secara ilmiah. Dan saat inipun kita tidak berhenti mengadakan forum secara tertutup. Dengan kemampuan yang terhad, kami terus menjelaskan apa itu ESQ.

Apabila ada usaha yang berterusan untuk mengharamkan ESQ, menggunakan segala kemudahan dan keewangan yang ada, maka kami terpaksa menghadapinya dengan cekal dan tabah. Benar tidak mudah, namun kami terima dengan pasrah. Kami tidak cukup waktu untuk terus berbahas di bilik-bilik seminar, ada masyarakat yang perlu diselamatkan di setiap saat; pembuangan bayi, rogol, rasuah, mat rempit, kes cerai mahupun orang-orang yang kelihatan biasa-biasa, namun dijiwa dan hatinya kering tandus dari mencintai Allah swt dan Rasulullah.

Dalam tempoh sukar ini, ESQ terus berusaha untuk menyampaikan kepada orang ramai bahawa akhlak yang baik akan terhasil apabila kita semua kembali kepada Rukun Agama yang tiangnya adalah Rukun Islam, Rukun Iman dan Ihsan.

Dalam tempoh sukar ini juga, ada tiga orang yang telah menerima Islam sebagai jalan hidup yang terindah. Ia hiburan dari Allah swt buat kami. Kesukaran ini mendidik jiwa kami.

Lalu, Ustaz Adli, sebagaimana permohonan maaf kami atas huluran persaudaraan untuk Ustaz mengadakan forum ini, kami sekali lagi memohon maaf kerana tidak menyambutnya. Saya hargai usaha Ustaz, dua surat yang Ustaz hantar ’mendesak’ kami untuk menerima undangan, atas alasan kerana pihak Ustaz telah mengiklankan kehadiran ESQ. Saya juga terkilan, kenapa mengumumkan kehadiran ESQ sedangkan kami tidak pernah memberi persetujuan.

Dan kelmarin, saya dapat tahu antara panelnya adalah panel dari Indonesia, KH Amin Djamaluddin. Saya tahu siapa KH Amin Djamaluddin, namun cukuplah saya simpan siapa dia untuk kami sendiri.

Kami mengambil panduan Imam al-Ghazali untuk menjaga kemurnian akhlak. Kerana Allah swt agar kasih sayang sesama umat terus kita jaga. Hormati kami atas perkara ini.

Kami akan undang Yayasan Taa’lim di dalam forum tertutup nanti, setelah Bpk Ary Ginanjar selesai umrah dan semua panel mengesahkan kehadiran mereka. Kami ingin adakan dalam semangat persaudaraan yang utuh... agar darah para syuhada’ yang gugur di Perang Badar tidak kita sia-siakan.... Islam itu indah... 

Salam ukhuwwah fillah untuk Yayasan Taalim dan semua panel yang akan bercakap pagi ini, ”Wajarkah ESQ diharamkan?”.  Semoga Islam tidak tercalar.

Wednesday, August 25, 2010

Jenama

Setinggi mana kelayakan kita, ilmu kita, kertas akademik kita, jawatan kita, namun apa yang tetap orang akan ingat adalah pengalaman mereka berurusan dengan kita. Akhlak kita.

Tazkirah oleh Dato’ Paduka Hasbullah kepada semua kakitangan ESQ sarat dengan ingatan bahawa Rasulullah tidak banyak berceramah tetapi apa yang Baginda tunjukkan adalah akhlak yang baik sehingga dari situ orang terbuka hati untuk menerima Islam sebagai jalan hidup.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

”Sesungguhnya Allah SWT telah menyerahkan agama itu pada diri seseorang, maka tidak baik agama itu melainkan dengan ketinggian dan keelokan akhlak. Adakah kamu mengelokkan agama kamu dengan kedua-dua sifat mulia ini? ” (Riwayat at-Tabrani)

Dato’ mengingatkan adalah sangat penting untuk kami semua menjaga akhlak, berusaha untuk terus menjadi baik… berbuat baik biar dalam apa keadaanpun. Perkara-perkara kecil adalah besar di dalam mendidik akhlak, kata Dato’; telefon yang lambat diangkat, lebih dari tiga deringan, sudah melambangkan ketidakcekapan syarikat atau jabatan kita. Buah dari didikan akhlak adalah keprihatinan kita akan sesuatu yang dikeluarkan dalam bentuk tindakan. Mengangkat telefon, delivery system kita terhadap tugas kita adalah lambang akhlak kita. Itu pesan Dato’ pada kami.

Tugas saya di syarikat lama, banyak berkait dengan penjenamaan atau branding. Saya bertanggungjawab terhadap Corporate Communication syarikat dan kemudiannya berkhidmat di bahagian Khidmat Pelanggan, memerlukan saya untuk travel ke cawangan syarikat di seluruh Negara, memberikan latihan tentang Brand dan mengingatkan betapa kritikalnya untuk kita menjaga nama syarikat. Mahu tidak mahu, sikap kita akan melambangkan syarikat. Pengalaman orang berurusan dengan kita, adalah perkara signifikan yang akan membentuk impression orang terhadap syarikat kita secara keseluruhan.

Begitu juga jika kita seorang Menteri, Exco, Ketua Pengarah Jabatan, Ketua syarikat, Pensyarah, Pakar Motivasi, Ulamak, pelajar siapapun kita, orang akan menilai sesebuah organisasi, jabatan, parti berdasarkan pengalaman mereka berurusan dengan kita secara individu. Akhlak kita melambangkan keseluruhan entiti dan ia mungkin akan membentuk persepsi yang salah (ketika kita bersikap salah), tentang keseluruhan jabatan, syarikat, parti mahupun agama kita sendiri.

Sekiranya kita sombong, kasar, hanya kita yang mahu bercakap, kurang mendengar, orang akan merasa berat untuk terus berurusan dengan kita. Kalaupun mereka terpaksa untuk terus berhadapan dengan kita, di dalam hati mereka telah ada satu impression yang berpotensi membentuk persepsi terhadap bukan sahaja kita tetapi tempat di mana kita berada.

Berdasarkan kajian, orang akan menceritakan tentang pengalaman buruk yang mereka lalui dua kali ganda berbanding pengalaman baik yang mereka lalui. Menurut kajian juga, orang yang melalui pengalaman buruk akan menceritakan kepada 8 hingga 10 orang yang lain tentang pengalaman buruk yang mereka hadapi ketika berurusan dengan kita.

Lalu, mungkinkah orang tidak tertarik untuk mendekati Islam kerana diri kita sendiri? Melihat kekerasan dalam diri kita sendiri? Dan orang tidak tertarik untuk terus menyokong kita kerana sikap kita sendiri? Betapa besar damage dan sangat berkaitannya diri kita dan organisasi yang kita wakili... walaupun kita mungkin melakukan beberapa hal atas alasan peribadi.

Refleksi diri kita sendiri.
Islam itu indah. Keindahan adalah jenamanya. Jangan kita rosakkan ia dengan sikap kita yang salah. Kita tidak lebih baik dari orang lain, kecuali orang yang beriman dan bertakwa di sisi Allah swt. Biar kita hidup untuk saling mengingatkan kerana Islam itu komposisi umatnya adalah kita semua. Buruk satu, buruk semua. Tercalar satu, tercalar semua...

Saya tidak tahu kenapa hari ini saya menulis sebegini. Mungkin buku Altruistic Management tentang kepimpinan Rasulullah saw, tulisan Ismail Noor mengetuk pintu rindu pada akhlak Rasulullah. Saya masih umpama buih yang banyak di lautan luas...

Sunday, August 22, 2010

Samakah datang ke ESQ dengan hukum Zina?

Setelah berbuka puasa malam tadi, anak sulung saya berusia 13 tahun yang belajar disebuah sekolah beraliran Arab di Selangor sugul bercerita ustazah disekolahnya bercerita tentang ESQ haram dan seleweng di kelas. Di asrama, setelah kelas, teman-temannya bercerita tentang sejarah perang salib dan menyatakan bahawa di Negara kita ada perang psikologi iaitu ESQ yang secara halus membawa salah akidah.

Tanyanya pada saya apabila haram, apakah hadir ke ESQ itu sama sepertimana dosa orang berzina atau makan babi?

Dia nyatakan bukankah di dalam training ESQ Kids & Teens yang dihadirinya mengajarkan banyak kebaikan… yang paling ketara adalah sepulang dari training bilik tidurnya sentiasa kemas kerana dia sangat terkesan dengan Angel Principle iaitu bahawa Malaikat sentiasa mencatat segala amal yang baik dan buruk. Menjadi pembersih, kemas dan disiplin adalah perkara-perkara baik yang malaikat catat sebagai amal kebaikan untuk dirinya… itu yang dia pegang sehingga sekarang.

Namun apabila disekeliling persekitarannya heboh bercerita tentang ESQ yang salah, dia jadi sugul dan keliru…

Berapa ramai di antara kita yang melalui masalah sama? Saya jadi teringat seorang alumni yang menangis dan merayu meminta agar kemelut ini segera diselesaikan kerana dia yang sudah mula solat, solat tahajud dan berusaha untuk jadi lebih baik, dikatakan mengamalkan ajaran sesat oleh ahli keluarga dan teman-temannya. Saya juga teringat alumni yang kelmarin hadir untuk recharge di training ESQ, Alhamdulillah sudah bertudung litup sedangkan ketika mengundang dia untuk hadir ke ESQ beberapa bulan sudah dia memakai skirt terbelah hingga ke peha.

Kata mereka yang berilmu dan ada kuasa memutuskan, niat tidak menghalalkan cara. Kata salah seorang YBSS Mufti yang saya jumpa, akidah itu salah satu salah semua. Namun soalnya, benarkah berlaku salah akidah? Benarkah ada penyelewengan?

Kenapa salah akidah ini tidak dapat dikesan di badan tertinggi yang memutuskan ini semua, iaitu Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah 7 kali mendengarkan pembentangan tentang ESQ? Apakah Pengerusi JK Fatwa Kebangsaan bersama semua ahlinya salah di dalam membuat keputusan? Saya masih ingat pandangan JK Fatwa Kebangsaan, bahawa apa yang dibentang di JK Fatwa Kebangsaan dan hal-hal dipermasalahkan adalah hal-hal ranting dan bukan pokok, hal yang zanni bukan qat’i.

Apakah hanya kerana tiada kuasa untuk memutuskan di setiap negeri bermakna Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang terdiri dari mereka yang senior dan berilmu ini membuat penilaian yang salah dari segi akidah? Apakah kertas laporan yang disediakan oleh salah seorang Penolong Pengarah Penyelidikan mengatasi keilmuan yang ada di dalam gabungan ilmu ahli Jawatan Kuasa Fatwa Majlis Muzakarah Kebangsaan sehingga ia seolah-olah menjadi asas untuk pengharaman yang saat ini tersebar dengan meluas?

Lalu disebarkan lagi bahawa ESQ degil dan tidak pernah mahu berubah. Maka untuk menguatkan hujah, dibentang dan ditayangkan kepada ahli fatwa negeri di roadshow yang dijalankan, rakaman program Astro Oasis yang dirakam pada tahun 2008 dan diulang tayang beberapa kali di Astro Oasis di mana Pak Ary Ginanjar menyebut tentang penemuan Sains iaitu ‘God Spot’. Kami telahpun memohon agar Astro Oasis menghentikan tayangan tersebut dan kekeliruan istilah tersebut telahpun kami ganti.

Surat yang kami hantar pada 11 & 13 hb Mei 2009, kepada pihak-pihak tertentu tentang pembaikan-pembaikan yang dilakukan sejak 8 hb Mei 2009 sekarang ini masih diperdebatkan seolah-olah pembaikan tidak pernah wujud. Kenapa? Apakah relevan soal ESQ adalah berkait akidah? Semua pembaikan telah dilakukan sejak 2009 dan kami maklumkan pada mereka yang berkenaan tetapi pada tahun 2010 tetap diharamkan atas perkara yang telah dibaiki dan dijelaskan.

Saya bimbang akan datang, ada institusi yang digunakan dan diberi maklumat yang tidak tepat sehingga keputusan yang tidak tepat diambil.

Sebagai orang dewasa yang lebih bijak menilai dan menimbang, kita juga confuse dengan apa yang sedang berlaku, apatah lagi anak-anak kita… yang masih belum matang fikirannya. Lalu, apa kemampuan yang saya ada untuk menyelesaikan kemelut ini setelah mendapat banyak rayuan dan permintaan untuk perkara ini diselesaikan… kecuali terus merayu dan berusaha menjelaskan kepada semua ahli jawatankuasa setiap negeri?

Tidak cukup dengan pengharaman sedia ada, ada pihak-pihak tertentu terus berusaha keras agar lebih banyak negeri mengharamkan ESQ. Busuk sangatkah ESQ sehingga ‘kebusukan’ itu mahu disebarkan di seluruh negeri? Apakah tiada langsung pandangan yang boleh diambil dari JK Fatwa Kebangsaan dalam soal nasional ini? Apakah kerana hanya hidung orang-orang tertentu yang secara peribadi merasakan ‘kebusukan’ dengan hadirnya ESQ maka dicari dan disahkan betapa yahudi dan kristiannya ESQ… betapa secara halus akidah umat Islam didakwa diselewengkan…

Ada seseorang yang tinggi ilmu agamanya, di panggil untuk berada dalam panel di sebuah institusi pernah menasihatkan saya, “Marhaini, gunalah teori apapun; Jepun, Amerika… tapi buanglah Quran dan Hadis dari ESQ Training dan kami tidak akan masuk campur lagi soal ESQ…”.

Sehingga kini, kata-katanya menghiris hati saya. Kami hanya ingin sama-sama berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan di sisi Allah swt. Itu sahaja.

Dan kami tidak bercerita soal-soal yang bukan dalam bidang yang memerlukan tauliah. Soal tersebut, kami serahkan pada yang lebih berhak… soal Fekah, Ibadah…. ia bukan bidang kami. Kami hanya bercerita soal yang sangat asas; soal pembinaan karakter melalui 5 rukun Islam, 6 rukun Iman dan Ihsan. Ia tidak terkeluar dari rukun agama tadi dan tidak sejauh apa yang dihukumkan saat ini ke atas kami. Ia tidak sejauh apa yang dikaji oleh panel kajian, para professor yang ilmu Islamnya sangat jauh dan tidak setanding dengan apa yang ESQ Training lakukan. ESQ itu hal-hal yang sangat asas, sangat biasa. ESQ itu hal yang asas kerana pengisian modulnya sama dari anak-anak sekolah rendah hingga para top executive yang pemahaman Islamnya biasa-biasa saja.

Lalu, anakku, datang ke ESQ tidak sama dengan melakukan zina. Di dalam ESQ Training yang engkau jalani, bukankah engkau sendiri merasakan cintamu yang semakin bertambah kepada Allah, kepada Rasulullah… membuat hidupmu lebih bersemangat, belajarmu sebagai bentuk pengabdianmu kepada Allah?

Teruslah merasakan bahawa malaikat sentiasa mencatat amal baik dan burukmu…ummi tidak mampu menjagamu sepanjang waktu, ummi tidak mampu untuk sentiasa berada disampingmu, binalah filter di dalam dirimu, rasakan CCTV Allah yang sentiasa merakam segala perbuatanmu … Jadilah anak Malaysia yang mencintai Allah swt atas segala-galanya. Engkau akan selamat dunia dan akhirat.

Friday, August 20, 2010

ESQ untuk Siapa?


Di sela training ESQ di hari kedua di Kuala Lumpur sebelum pewartaan pengharaman ESQ, seorang penari datang berjumpa dengan Panel Shariah dan Akidah ESQ yang merupakan mantan Mufti Kedah dan juga mantan Ketua Hakim Syariah Negeri Kedah, YBhg Dato’ Paduka Sheikh Hasbullah Abdul Halim bertanyakan bagaimana untuk solat sedangkan setiap kali sebelum performance,  dia sudah perlu siap bermekap…. Selama ini, dia tidak pernah solat, namun hadir ke training kali itu, hatinya terbuka untuk mula solat.  Bertemu dengan Dato’, memberinya kesempatan untuk menanyakan banyak hal-hal yang sebelumnya asing bagi dia. 

Ada banyak kisah sama, cerita serupa yang saban kali kami dengar dan saksikan di ESQ Training. 

Dan kehadiran para ulamak berada bersama-sama ketika break, makan tengahari, solat bersama, duduk memantau dan membimbing, membantu peserta untuk merujuk dan lebih dekat dengan para ulamak, bagi mendapatkan panduan dan bimbingan secara tidak formal…. Ia memecah benteng yang seolah-olah wujud sebelum ini,  mendekatkan peserta serta alumni ESQ dengan para ulamak.

Dan seringkali juga saya saksikan para top management, CEO duduk semeja bersama para ulamak berkongsi rasa dan meminta panduan bagaimana untuk jadi lebih baik di sisi Allah swt.  Kata orang, semakin tinggi kedudukan kita, semakin sunyi kehidupan kita… mereka memerlukan satu support group yang mantap… adanya para ulamak bersama-sama  memberi kekuatan, panduan untuk mentadbir diri dan syarikat dengan lebih baik.    

ESQ tidak bercerita tentang ibadah… ESQ bercerita tentang pembinaan karakter melalui metod ihsan, 6 rukun iman dan 5 rukun Islam berdasarkan Hadis Jibril yang telah turun lebih 1400 tahun yang lalu.  Seringkali kami saksikan, buah dari pendekatan ini adalah sebuah kesedaran diri bahawa mula tercetusnya keinginan untuk melakukan perubahan dari dalam diri.  Dengan izin Allah swt, semua itu berlaku.  ESQ tidak punya kepakaran untuk membimbing soal ibadah, maka perlu ada ustaz dan ulamak yang membantu untuk menyambut cetusan kesedaran ini.  Para trainer hanya mampu mengingatkan bahawa training sebenar bermula setelah ESQ Training 3 hari berakhir.  Peserta diingatkan untuk mencari bimbingan lanjut dari para ustaz…

Justeru itu, kami melihat banyak peranan ustaz dan ulamak membantu para alumni ESQ.  Saya sering diundang untuk ikut sama ke kelas-kelas tafsir yang alumni adakan di rumah-rumah mereka, atau kelas mengaji yang mula mereka adakan di syarikat-syarikat mereka, ceramah mingguan dan sebagainya.

Menganalisa composition of participants yang hadir ke ESQ Training, boleh dikatakan 70% adalah dari golongan korporat dan eksekutif yang ingin tahu tentang kepimpinan pengurusan dan pembinaan karakter melalui pendekatan Islam.  20% adalah pelajar, suri rumah atau orang perseorangan dan 10% adalah dari mereka dengan latarbelakang agama yang baik.

ESQ bercakap dalam bahasa pengurusan dan kepimpinan… bahasa sebahagian besar peserta yang hadir ke ESQ Training.  Bahasanya mungkin agak jauh dari sesetengah kita namun itulah bahasa untuk kita create rapport, untuk kita mengetuk pintu sebelum kita di terima masuk… Contohnya ketika kami bercakap tentang misi dan visi syarikat, kami menyebutkannya sebagai mission statement.  Kebanyakan syarikat mempunyai mission statement masing-masing namun agak jarang yang menyambungkannya dengan Allah swt.  Lalu kami menyampaikan bahawa misi tertinggi kehidupan adalah pengabdian kepada Allah swt.  Dua kalimah syahadah adalah esensi pekerjaan dan kehidupan.  ESQ training selama 3 hari sarat dengan ilmu kepimpinan yang merujuk kepada Al Quran dan As Sunnah sebagai rujukan utama.

Mungkin kepada sesetengah peserta, ESQ Training hanyalah sesuatu yang tidak signifikan kepadanya lantaran dia telah melalui sesuatu yang jauh lebih hebat, bermakna dan lebih menyentuh.  Kepada sebahagian orang pula, ESQ punya erti dan makna tertentu untuknya, titik perubahan dalam diri yang menukar cara dia melihat kehidupannya.  Pun begitu, ingin saya nyatakan bahawa ESQ bukanlah segala-galanya… ESQ Training adalah usaha untuk mencetus sedikit kesedaran, setelah itu peserta sering diingatkan untuk terus mencari ilmu.

Sekiranya training ini bukan untuk kita, mungkin ada orang lain yang memerlukannya.  Lalu jangan kita buang ia kerana ia tetap intellectual property yang boleh mendatangkan manafaat kepada yang lain.  ESQ Training mungkin bukan ‘bahasa’ kita, namun mungkin ia menjadi medan untuk tugas kita yang menanti.

Lebih indah untuk kita terus hidup dalam sinergi, untuk sebuah kepentingan yang lebih besar… kita bantu masyarakat yang hidup dalam kekeringan jiwa… yang jauh dari Allah swt.  Kita lupakan segala perbezaan, kita cari persamaan dan kita saling lengkap melengkapkan.  Mari kita berenang ke blue ocean, di mana kehidupannya lebih damai, bukan berada dalam red ocean, saling berbalah dan tikam menikam di antara satu sama lain.  Ada generasi yang harus kita bangunkan hari ini, ada tugas yang menanti kita…. Untuk kita saling berlumba-lumba berbuat kebaikan… kita tidak ada waktu yang banyak…

Dengan apa yang kita lakukan, moga menjadi jalan ke arah penyempurnaan jiwa untuk diri kita sendiri.  Moga Allah membimbing setiap langkah kita, menjadikan kita lebih dekat denganNya dalam setiap helaan nafas kita yang masih berbaki….

Kita lupakan perbezaan, kita cari titik persamaan.  Kerana Allah swt.

Thursday, August 19, 2010

Kuala Lumpur – Jakarta – Kuala Lumpur: Apakah benar salahnya di Akidah?

Perjalanan kerja dua hari satu malam ke Jakarta kali ini menjadi perjalanan menelusuri ke dalam diri. Dan cubaan memahami, apa isu sebenar kes ESQ?


Kenapa ada waktunya kita menjadi begitu berbeza... sedangkan asal kita dari bahan yang sama...

Teringat sebuah cerita tentang dua buah negeri yang saling bermusuhan, kedua-dua negeri tersebut dipisahkan oleh sebuah tasik yang luas. Pada suatu hari ketika seorang pemuda sedang berjalan di tepi tasik, dia terdengar jeritan meminta tolong dari tengah tasik... lalu tanpa berfikir panjang dia terus terjun ke tasik, berusaha sekuat tenaga untuk menarik pemuda yang sedang lemas ke tepi tasik. Dalam saat-saat cemas tersebut, dia melakukan apa jua cara untuk menyelamatkan pemuda yang lemas tadi sehingga akhirnya pemuda tersebut sedar dari pengsannya. Setelah sedar, tak putus rasa syukur dan terima kasih yang keluar dari mulut pemuda yang lemas. Mereka saling bertukar cerita, sehinggalah mereka tahu bahawa mereka datang dari negeri berbeza yang saling bermusuhan... lalu tiba-tiba rasa benci itu muncul di hati...

Fitrah diri kita cintakan kebaikan dan rasa sayang di antara kita. Di titik yang paling dalam tiada benci di antara kita... Di antara saya yang sedang menulis dan anda yang sedang membaca tulisan ini... kita tiada beza, sesama manusia, apatah lagi kita dari umat Nabi Muhammad saw yang satu. Namun along the way, along our life journey that we surpassed, kita dididik dengan pengalaman berbeza, melalui sistem pendidikan yang tidak sama… jarak di antara kita menjadi jauh. Lebih berat ketika kita saling melabelkan, menjadi sangat judgemental terhadap sesama kita.

Kaca mata apa yang sedang kita pakai? Apakah ada blind spot yang menghalang penglihatan kita mahupun penglihatan di hati kita? Apakah kita melihat sesuatu hanya dari pandangan kita, tidak cuba melihat secara helicopter view... atau apakah mungkin kita mendapat maklumat yang tidak lengkap atau salah, lalu kita terus menghukum berdasarkan fakta yang tidak tepat?

Saya jadi teringat kontroversi ESQ Training... ada waktunya saya sendiri tertanya-tanya; benarkah ESQ itu menyeleweng akidah sedangkan bukan sebarang orang yang datang, menilai dan menyemak... atau apakah kerana perkara lain... perkara selain akidah.

Ada ketidakadilan yang kami kesan ketika kajian dibuat; ayat yang tidak dilengkapkan, fakta yang disalah tafsirkan dan baris-baris ayat yang ditinggalkan... menghukum bahawa ESQ menggunakan hanya semata-mata logik di hati sedangkan sangat jelas bahawa di dalam buku ESQ terdapat bab bahawa Al Quran adalah pedoman utama. Banyak lagi perkara, banyak lagi penjelasan... namun, saya tidak tahu di mana akhirnya vicious cycle ini.

Saya hanya berharap daripada terus menghukum, ambil sedikit kesempatan untuk membelek setiap helaian di buku ESQ, hadir ke training dan memahami sebuah cita-cita untuk meneroka ke wilayah Islamic Leadership untuk membina watak dan karakter Muslim sebagai saingan kepimpinan berteori Barat. Sepertimana struggle untuk mewujudkan Islamic Banking system, pasti jua banyak perjalanan awal yang penuh lompong untuk kita sama-sama tampung...

Benarkah akidah isunya, sehingga ramai yang resah?

Sehingga kembali tiba di Kuala Lumpur dalam hujan renyai dan tanah KL yang basah malam tadi, saya masih belum menemukan jawapannya.

Hanya satu yang saya lalui, Jakarta hujan, KL juga. Hujan sama, tapi kita masih berbeza...

Monday, August 16, 2010

Siapa Ary Ginanjar Agustian?

Saya tidak pernah kenal siapa Ary Ginanjar Agustian yang dipanggil Pak Ary sehingga saya hadir ke ESQ Training di Jakarta pertengahan tahun 2005. Melihat beliau dari jauh, dikelilingi oleh para pemimpin, para tokoh dan professional, saya merasakan beliau pasti seseorang yang tidak mudah didekati... ramai orang ingin dekat dengannya... ingin mendengar apa jua solusi dalam masalah kehidupan dan pengurusan yang dijalani... namun siapa dia sebenarnya?


Saya jadi teringat dengan professional speakers yang saya jumpa di Annual National Achievers Congress di PWTC Kuala Lumpur hampir setiap tahun. Mereka juga begitu… begitu juga sambutan orang terhadap para speakers yang telah dikenal di peringkat antarabangsa. Banyak Management Guru dari Barat yang sempat saya temukan di seminar-seminar antarabangsa, yang datang mengajarkan tentang pengurusan, kepimpinan, keewangan untuk menjadi manusia yang lebih berjaya... Dennis Waitley, Robert Kiyosaki, Anthony Robbins, Andrew Matthews, Roger Hamilton, T. Harv Eker dan lain-lain.

Saya pernah membayangkan alangkah hebatnya, kiranya suatu waktu nanti akan ada seminar hebat yang boleh menembus syarikat-syarikat korporat seperti Annual National Achievers Congress ini. Saya membayangkan di situ berkumpul cream of the cream di dalam negara ini; para pengarah syarikat, usahawan, ahli korporat, CEO, eksekutif-eksekutif… untuk mendengarkan betapa hebatnya golden era kepimpinan Rasulullah saw dan para nabi, bagaimana applikasinya di dunia modern dan kepimpinan hari ini. Dan suasananya, positioning seminarnya seperti atau lebih hebat dari apa yang saya alami saat itu.

Kalaupun mungkin seminar tentang kepimpinan Rasulullah ini telah pernah diadakan, pada saya ia masih lagi belum menembus masuk ke wilayah-wilayah korporat, para eksekutif biasa yang belum mampu menyintai dan meyakini bahawa kepimpinan Rasulullah saw dan para nabi adalah kepimpinan terbaik yang pernah ada di mukabumi kerana kepimpinan para nabi adalah kepimpinan yang dibimbing oleh Allah swt. Sedangkan kepimpinan ciptaan manusia masih meletakkan diri sendiri sebagai egocentric... yang hebat dan mampu. Kerap kali juga saya tertipu, ketika cuba mengaplikasikan apa yang saya dapat dari modern self management ini... bahawa ” I am special, saya boleh menjadi ketua yang hebat...” kerap kali saya ”tinggalkan” Allah dan apa yang diangkat adalah diri sendiri.... Astaghfirullah... moga Allah ampunkan segala kesombongan diri dan betapa banyak perkara sebelum ini yang saya tidak tahu dan temui...

Lebih dua tahun setelah menjalani ESQ Training, saya memohon pekerjaan di ESQ dan diterima masuk sebagai staff ESQ. Saya tinggalkan pekerjaan yang saya masih sayangi kerana ada sesuatu yang aneh di dalam hati yang menggerakkan saya untuk berpindah kerja... mungkin kerana cinta saya kepada training dan untuk membaiki hati dan diri sendiri. Kata psychological test yang saya buat, I’m a born peacemaker, mungkin juga kerana itu saya terinspirasi dengan Surah Al Hujurat yang saya buka setelah istikharah saya, lalu saya pilih untuk berpindah kerja, wallahua’lam.

Saya pernah berkongsi dengan seorang rakan bahawa saya tidak tahu kenapa ayat Al-Hujurat ini menyentuh jiwa saya, walaupun di re-offer untuk stay dengan pakej menarik, saya tetap memutuskan untuk berpindah kerja. Ayatnya adalah ayat 9-11 yang bermaksud:

” Dan apabila ada dua golongan orang mukmin berperang, maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari keduanya berbuat zalim terhadap (golongan) yang lain, maka perangilah (golongan) yang berbuat zalim itu, sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah),maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, dan berlakulah adil. Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat. Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain, (kerana) boleh jadi mereka lebih baik dari mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olokkan) dan jangan pula perempuan-perempuan (mengolok-olokkan) perempuan lain, (kerana) boleh jadi perempuan (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari perempuan (yang mengolok-olokkan). Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (fasik) setelah beriman. Dan barangsiapa tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.

Setelah join ESQ sebagai staff, saya berpeluang untuk mengenal siapa Pak Ary melalui pengalaman dan pemerhatian sendiri. Sebelum itu, saya mendengar banyak tentang Pak Ary dari jauh, dari percakapan kawan-kawan dan dari bacaan di internet, web, blog-blog, sama ada yang mengkagumi, mahupun yang memusuhinya. Menjadi public figure, kisahnya banyak yang kita dapati di mana-mana,sejarah hidupnya... dalam pelbagai rupa dan warna.

Saya mengenal Pak Ary dari banyak sources; ibu bapanya, isterinya, adik beradiknya, staff muslim dan non muslim, staff yang bekerja berpuluh tahun dengannya, hatta dari staff-staff yang resign dari ESQ serta orang-orang yang menerima Islam sebagai jalan hidup setelah berkongsi cerita dengannya, teman-temannya sama ada lama atau baru, gurunya Kiyai Haji Pak Habib Adnan, dari para peserta yang pernah hadir ke ESQ Training.... namun paling significant dari semua itu adalah pengalaman saya sendiri dan pemerhatian saya terhadap Pak Ary...

Saya berkongsi atas pengalaman sendiri, bukan atas rasa kagum kepada seorang manusia lain, namun atas niat untuk menyampaikan apa yang saya tahu dan benar. Atas rasa; to speak from the depth of my heart. Ada banyak perkara kecil yang mungkin tidak bermakna pada orang lain tetapi sangat significant pada saya.

Bermula dari hal-hal yang kecil-kecil, saya menilai Pak Ary dari sudut pandang saya.

Saya melihat akhlak dan adabnya; setelah makan di mana sahaja, beliau pasti merapikan kerusi yang didudukinya, mengelap telefon yang dipinjamkan kepadanya dan membersih dan mengelap tandas setelah menggunakannya, berada di sebelah kiri ketika menaiki eskalator agar jangan kita halang perjalanan orang lain... beliau sentiasa mengingatkan bahawa Islam mencintai kebersihan, keprihatinan terhadap orang lain lalu kita sebagai orang Islam, jangan sekadar bercakap tetapi melakukannya. Beliau juga sering berkongsi kecemburuannya terhadap Bangsa Jepun yang begitu jujur, prihatin, penuh dengan adab. Sekiranya orang Islam menghayati ajaran Rasulullah saw, kita akan menjadi lebih hebat, itu katanya. Saya jadi teringat di satu makan malam, sharing YABhg Tun Mahathir dan YABhg Tun Siti dengan Pak Ary, saya dan beberapa teman, bagaimana adab minum teh di Jepun dan bagaimana anak-anak di Jepun dididik untuk terlebih dahulu melipat sampah yang ingin dibuang dan memasukkan dahulu ke poket masing-masing sebelum dibuang. Kata YABhg Tun, pembinaan karakter Jepun bermula dari hal-hal begitu; hal-hal yang mungkin kecil pada kita.

Ketika Pak Ary ke Malaysia, di pertemuan dengan staff, staff sering diingatkan untuk menjaga kedisiplinan. Sering di role-play kan di hadapan staff, bagaimana Malaikat mencatat setiap apa yang kita lakukan; surf internet di waktu kerja, penggunaan telefon, perlunya mempunyai meja yang kemas, membuat planning kerja... semuanya dicatat oleh Malaikat kiri dan kanan kita. Kami selalu dingatkan untuk bekerja kerana Allah, kerana hidup kita seperti bunga Sakura, berbunga sebentar dan bunganya indah. Hidup kita singkat di dunia, lakukan sesuatu yang bermakna, jangan pernah berhenti bekerja didunia kalau kita ingin rehat di akhirat di syurga Allah. Solat membina kedisiplinan. Sai lah jangan pernah berhenti seperti Siti Hajar. Jangan harapkan apa-apa di dunia, zam zam pasti akan muncul...di tempat yang tak kita sangka. Itu prinsip kerja yang ditanamkan kepada kami, namun dari segi pengurusan, ia tidak bermakna dilupakan segala kewajipan serta bonus tahunan untuk staff. Segalanya tetap dipenuhi sehingga ada benefits yang tidak pernah saya dapatkan di tempat kerja lain, diberikan di ESQ ie pergigian, cermin mata...

Saya sempat ke Bali untuk melawat guru Pak Ary, Pak Habib Adnan yang saat itu sedang uzur. Saya juga sempat ke Pasar Kuta tempat Pak Ary membuka kedai jeans nya. Masih ada rakan peniaga Pak Ary berniaga di situ... orang masih mengenalnya, saya juga berjumpa dengan staff dan teman-teman lamanya yang sempat berkongsi kisah Pak Ary ketika di Bali. Ada banyak kisah, ada banyak warna... semuanya kisah kehidupan yang mendewasakan... membuat kita ingin menjadi lebih baik dari sebelumnya, membuat kita ingin mencintai Allah swt mengatasi segala cinta yang lain...

Saya sempat berkunjung ke rumah Pak Ary. Ada beberapa orang pembantu rumahnya... semuanya menutup aurat dengan sangat rapi. Besar pada saya pemerhatian ini, kerana saya sendiri mengambil masa yang lama sehingga pembantu rumah saya menutup aurat dengan baik. Kita belajar tentang Islam, mengajarkan ilmu-ilmu Islam tetapi orang-orang disekeliling kita ada waktunya tertinggal dari didikan atas ilmu yang kita ada.

Setiba waktu zuhur, Pak Ary kelihatan resah kerana masih banyak soalan-soalan saya. Walaupun dia ketua saya, dia tidak berhenti mendengar sehingga saya mengusulkannya. Rupanya dia resah kerana di surau di dalam rumahnya, semua pembantu rumah dan isterinya sedang menunggu beliau untuk solat jemaah. Saya tanyakan pada salah satu pembantunya; apakah sering begini (solat jemaah)... ya kata pembantunya. Dan surau tersebut terletak di tengah-tengah; ruang makan, kamar tidur, ruang kerja, ruang bacaan, ruang sukan, semuanya menghadap ke arah surau. Kenapa tanya saya pada Pak Ary? Kerana katanya, agar dia sentiasa mengingat Allah swt.

Dalam kemelut ini, sangat jelas pendiriannya, dia sampaikan pada saya, ikuti dan taat sahaja atas semua cadangan, istilah-istilah yang boleh membawa salah pengertian ie Zero Mind Process (ZMP) yang dikatakan mengosongkan fikiran sedangkan maksud sebenar adalah membuang membelenggu yang salah... saya mempertahankan agar jangan ditukar kepada Zero Manacle Process kerana kata saya, bukankah ESQ Model ini telah ke seluruh dunia dan diterima. Saya juga melihat dari segi costs to rebrand...seperti apabila Petronas hanya mengubah logonya, dengan menambah warna, semua logo yang dicetak dimana-mana terpaksa ditukar. Dan ESQ model ini telah dicetak dimana-mana termasuk merchandise ESQ. Kata Pak Ary, pada saya, jangan pernah memikirkan kerugian... Allah pasti ganti apa yang hilang. Dan katanya juga, asalkan jangan minta di ganti ihsan, Rukun Iman yang 6 dan Rukun Islam yang 5, dia minta saya ikuti. Katanya apa yang perlu ditukar hanya perkara kecil, soal istilah...

Walaupun pada saya, dia hanya seorang Management Guru, dan Allah memilih saya untuk ikut berada dikelasnya, ada sesuatu yang saya tidak pernah akan lupa pada dia, biarpun nanti saya mungkin hilang peluang untuk terus belajar darinya; dia mengajarkan saya tentang Tauhid yang satu kepada Allah, saya belajar untuk menikmati getaran di hati ketika menyebut nama Allah swt...mengajarkan saya untuk mencintai Rasulullah saw... dia mengajar saya untuk merujuk kepada Al Quran dan Sunnah Rasulullah saw dalam semua aspek kehidupan, decision yang saya ingin buat... Dia sering mengingatkan saya agar jangan tanya manusia tetapi tanyalah Allah dalam setiap decision yang ingin kita buat, sering-seringkan istikharah. Jangan tinggal tahajud. Ingatan dia yang tak pernah sudah ialah jangan sekadar baca Al Quran, tetapi fahami makna sampai masuk ke dalam hati. Dan pesan dia pada saya, hormati para ulamak, dapatkan nasihat, bimbingan ulamak... sudah ramai ulamak di Malaysia yang mula saya kenal dan boleh saya rujuk. Berpaling pada mereka untuk nasihat...

Dia sentiasa mengingatkan saya tentang kisah Rasulullah saw bersama Yahudi buta ketika saya hilang sabar, mengingatkan saya tentang kisah Rasulullah saw dilempar batu ketika saya merasa lelah dan kalah atas kemalasan diri dan kekecewaan terhadap diri sendiri... Bercakap dengan dia walaupun dalam planning dan urusan pekerjaan, akan tidak pernah lekang dari kisah-kisah di dalam Al Quran dan As Sunnah... jarang sekali dia bercerita tentang hal orang lain. Dia mengajarkan saya untuk menjadikan hidup sebagai pengabdian di sisi Allah swt. Dia mengajarkan saya untuk mencintai agama, bangsa dan tanah air sendiri. Kerana segala cinta itu adalah pengabdian kepada Allah swt.

Itulah dia seorang Ary Ginanjar yang saya kenal dari kacamata saya... tidak lebih, tidak kurang. Saya bersyukur kepada Allah pernah mengenalinya... selebihnya hanya Allah swt Yang Maha Tahu. Saya tidak mampu untuk melihat lebih daripada itu.... Wallahua’lam.

Saturday, August 14, 2010

Saya cemburu dengan ESQ...

Sebagai seseorang yang merasa ada sesuatu pada diri sendiri; best student Applied Psychology Center UIA, seorang kolumnis mingguan di Berita Harian, Mingguan Wanita dan Majalah Midi, menjadi speaker di seminar, mengendalikan kursus serta mempunyai Klinik Psikologi sendiri, jua bekerja di bawah kumpulan syarikat besar, saya hadir ke ESQ Training di Jakarta lebih lima tahun dahulu dalam keadaan ’gelas penuh’, merasa diri cukup tahu. Ada rasa jealous yang masuk ke dalam hati saat itu…. Melihat training dijalankan di Jakarta Convention Center dengan jumlah yang ramai, teknologi yang canggih, dikendali secara professional, ramai orang-orang muda dan juga orang-orang tua, berkereta besar dan elit, petugas-petugas muda yang begitu bersemangat.... sungguh saya cemburu!


Hari pertama saya di ESQ Training penuh dengan rasa cemburu. Ia menyekat saya dari menghayati modul-modul yang dipaparkan pada saya.

Pada hari kedua, ada mangsa Tsunami yang berada dekat dengan saya.... dia kehilangan 83 orang ahli keluarganya, dan gedung perniagaannya yang besar di Acheh. Ketika diceritakan kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang biasa saya dengar ketika Aidil Adha, dia menangis kuat, tangisannya yang tersimpan lebih setahun setelah Tsunami, dilepas keluar....setelah sessi tersebut, dia berkongsi dengan saya, tidak pernah dia merasa selega itu. Di hari ketiga, di celah-celah sessi dia berkongsi lagi bahawa malam harinya, buat pertama kali setelah lebih setahun tsunami, dia dapat tidur nyenyak...

Perkongsiannya membuka hati saya, sebagai seseorang yang terlibat dengan sessi-sessi support group, group counseling, couseling session, kami selalunya mengambil masa yang lama untuk menamatkan sessi,kadang-kadang sehingga berbelas sessi dan boleh memakan waktu hampir setahun, untuk client benar-benar let out apa yang membuat mereka simpan sehingga sesetengahnya berada dalam depresi. Namun, ketika training di hari kedua, dia mampu melepaskan pengalaman getir yang tersekat di dalam dirinya selama ini.

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar... sungguh saya terpana melihat betapa besarnya mukjizat Al Quran dan betapa kuat dan teraputiknya kisah-kisah di dalam Al Quran....penggunaannya di dalam ESQ Training, dengan slide-slide yang di design sebegitu rupa adalah usaha-usaha serta pendekatan yang dijalankan agar Allah swt menurunkan hidayahnya. Trainer tiada kemampuan untuk berbuat demikian. Trainer juga manusia seperti kita..hanya mampu mengutip kisah-kisah dan ayat-ayat di dalam Al Quran, berdoa dan saling membacakan Al Fatihah di sepanjang latihan berlangsung. Trainer berusaha untuk menyampaikan kisah-kisah dan ayat-ayat di dalam Al-Quran dan saat ini baru saya tahu ketika menghadiri mesyuarat dan Training of Trainers (TOT) setiap 3 bulan, trainer sentiasa diingatkan agar jangan kagum dengan diri sendiri, sentiasa tahajud, baca Al Quran, rendah hati... kita tidak mampu untuk menyampaikan cinta kepada Allah kalau di dalam hati kita sendiri tidak cinta pada Dia.

Saya hanya benar-benar merasakan kesan ESQ Training sepulang saya dari Jakarta. Saya tidak lagi mampu untuk menggunakan telefon pejabat untuk kegunaan peribadi... kerana saya benar-benar merasa Allah Maha Melihat... merasakannya... bukan sekadar mengetahuinya.

Terlalu banyak perjalanan jiwa yang saya lalui setelah itu...

Menyorot kembali apa yang saya lalui... rasa cemburu yang menjalar ke dalam diri saat pertama kali saya ke training... boleh menjadi besar dan lebih besar kalau ia dibiar-biarkan.

Ada seorang rakan motivator Dr Rozieta Shaari pernah berkongsi dengan saya, bahawa otak kita seperti Radar Activated System (RAS), sekiranya kita membuat decision atas sesuatu, kita akan mula melihatnya di depan mata secara jelas. Contohnya, sekiranya kita decide untuk membeli kereta Mercedes berwarna silver, kita akan mula melihat banyak Mercedes Silver di jalan-jalan. Mercedes Silver akan cepat menangkap penglihatan kita.

Begitu juga ketika saya hadir ke training ESQ, sekiranya saya hadir untuk mencari salahnya ESQ, pasti banyak yang saya temukan salahnya. Pasti saya akan sibuk mencatat segala kesalahannya dihati dan dinota saya... segala yang baik akan tidak lagi saya nampak kerana saya telah activate kan otak saya untuk melihat segala yang buruk...

Namun, daripada bertanding, lebih baik kita bekerjasama... ia membuat hidup kita lebih ringan.... banyak dari segi ilmu, transfer of technology dan transfer of skill yang boleh kita manafaatkan untuk ummah dan masyarakat dunia.... dan kita tidak mahu kitalah virusnya di dalam masyarakat,menjadi pemecah belah tanpa kita sedar kerana ada rasa luka di hati... hurting people hurt people...

Firman Allah, Al Mu’minun, ayat 51-54 yang bermaksud:

Allah berfirman, “Wahai para rasul! Makanlah dari (makanan) yang baik-baik dan kerjakanlah kebajikan. Sungguh Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. Dan sungguh, (agama tauhid) inilah agama kamu, agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka bertakwalah kepadaKu”. Kemudian mereka terpecah belah dan urusan (agama)nya menjadi beberapa golongan. Setiap golongan (merasa) bangga dengan apa yang ada pada mereka (masing-masing). Maka biarkanlah mereka dalam kesesatannya sampai waktu yang ditentukan.

Friday, August 13, 2010

Muhasabah Pagi Jumaat

Saya sering diingatkan oleh YBhg Dato’ Nooh Hj Gadot untuk bersangka baik dan banyakkan istighfar…. Dan demi Allah, setakat ini, dalam kemelut lebih dua tahun ini, tiada kebencian di hati...hanya sebuah rasa sedih dan sebak setiap kali saya reflect dan melakukan self reflection atas segala apa yang terjadi.


Kita merancang, namun Allah swt punya rancangan lain untuk kita. Saya belajar untuk mengikuti segala ’skrip kehidupan’ dari Allah swt dengan dada yang lapang. Belajar untuk redha atas segala takdir baik mahupun buruk.... Sungguh indah kehidupan apabila kita mampu untuk meletakkan cinta kepada Allah swt melebihi segala cinta di hati. Namun acapkali, it is a long struggle... to be a better person in the eyes of Allah swt, everyday in our lives… betapa lemahnya sebuah hati. Hanya pada Allah swt saya pasrahkan kehidupan ini.

Saya percaya, apabila pintu di bumi seolah-olah tertutup untuk kita, pintu di langit terbuka luas untuk kita masuki…

Saya tidak pernah membayangkan saya akan melalui apa yang saya lalui hari ini.

Sejak di universiti saya terlibat dengan kerja-kerja dakwah dan kebajikan di pedalaman Sarawak dan Jeli. Ada waktunya berminggu saya hidup di kalangan aborigines dan natives... saat itu, kepenatan tidak mampu mengalahkan sebuah kepuasan di hati. Ke kebun bersama mereka, memasak untuk mereka, mengajak mereka membersih kawasan, bersukan dan bersama-sama mendirikan surau. Ada waktunya saya terpaksa meredah malam pekat, jalan berbukit untuk membawa mereka ke hospital terdekat ketika mereka sakit. Saya belajar untuk bersabar ketika membawa mereka ke Kuala Lumpur dan saat mendapat tahu ada yang minum tuak walau baru bersyahadah...

Saya belajar erti keikhlasan, prihatin sesama dan kemampuan untuk menyayangi biarpun mereka begitu berbeza dengan kita. Saya belajar... hidup adalah sebuah pengabdian kepada Allah swt dan jangan lakukan sesuatu kerana perkara selain dari Allah swt. Saya ingin belajar bagaimana akhlak Baginda Rasulullah saw... ketika menghadapi ujian demi ujian dalam hidupnya. Alangkah jauh peribadi saya dari itu semua... semoga Allah mengasihani kita semua dan kita tidak seperti buih di lautan, banyak, tetapi kosong tidak bermakna...

Apabila ada yang mengatakan bahawa saya mempertahankan sesuatu sehingga menidakkan yang lain, ia membuat saya kembali memuhasabah diri. Benarkah saya lakukan semua yang saya lakukan kerana seorang manusia? What is so great about a particular person that make you want to stand up? It is nothing to do about the other person, it is about me and Allah swt… that I can eventually conclude.

Dan Subhanallah pagi ini, saya membaca Surah Al-Ankabut. Antara ayat yang saya baca…Firman Allah swt, Al Ankabut, ayat 41-42, yang bermaksud:

“ Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah adalah seperti labah-labah yang membuat rumah. Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah, sekiranya mereka mengetahui. Sungguh, Allah Mengetahui apa saja yang mereka sembah selain Dia. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Bijaksana”.

Apa yang berlaku akhir-akhir ini dalam kehidupan saya adalah peluang untuk lebih dekat dengan Allah swt. Rugilah jika saya merasa menderita dengan perjalanan kehidupan ini. Banyak nikmat yang Allah berikan… saya tidak pernah membayangkan untuk hidup dekat dengan para Ulamak. Pekerjaan saya sebelum ini begitu jauh dari para Ulamak. Saya teringat Road Safety Campaign yang saya jalankan saban tahun dahulu, saya dapatkan sebuah perspektif baru apabila dekat dengan Ulamak… Dato’ Nooh sampaikan begitu banyak facilities yang PLUS sediakan di sepanjang highway, alangkah lebih baik dalam perjalanan ketika berhenti rehat di R & R, kita solat sunat… atau tidur sebentar dan solat tahajud ketika travel di malam hari. Di perjalanan, kita berzikir... ia menyejukkan hati, membuat jiwa rasa tenteram dan Insyallah Allah swt melindungi keselamatan kita di dalam perjalanan. Sebuah solution yang kembali kepada Al Quran dan As Sunnah dalam setiap aspek kehidupan yang kita jalani. Pandangan Dato’ Nooh ini meyakinkan saya bahawa kita perlu angkat para ulamak dalam setiap pekerjaan kita, libatkan mereka... kerana mereka adalah pembimbing, umpama bintang penunjuk di malam gelap.

Siapapun kita, mari kita muhasabah diri sendiri. Kita lakukan alignment di hati kita. Moga Allah bimbing setiap langkah kita, kata-kata kita, tangan dan kaki kita...moga Allah ampunkan dosa-dosa dan khilaf kita yang banyak...

Hari ini, hari Jumaat... terasa rindu kepada keluarga di Kelantan. Pagi Jumaat, pagi pengisian ilmu... pastinya ma dan kakak sedang sibuk bersiap ke majlis ilmu pagi ini... Salam rindu, salam Ramadhan untuk semua.

Thursday, August 12, 2010

Surat Terbuka untuk Ustaz Aizam Mas’od

Assalamualaikum wrt wbh
Ustaz Aizam yang saya hormati kerana Allah swt,

Telah lama saya ingin berbicara hati ke hati dengan Ustaz... namun seringkali tiada kekuatan untuk melakukannya ....

Entah kenapa... mungkin kerana kekuatan semangat persaudaraan Ramadhan kali ini, petang semalam saya menghubungi Ustaz setelah kali terakhir saya cuba menghubungi Ustaz dua tahun yang lalu; setelah Ustaz selesai menjalani training ESQ Angkatan 21 pada awal Ogos 2008. Yang saya dapatkan waktu itu hanya khabar daripada Ustaz Arif Samad yang sama-sama hadir ke training ESQ bersama Ustaz bahawa Ustaz sedang menyiapkan laporan.... masih jelas dalam ingatan kata-kata Ustaz Arif, ”tunggu dulu puan, Ustaz Aizam sedang menyiapkan laporan. Insyallah tiada masalah isi kandungan, hanya dari sudut pendekatan, Jakim ada pandangan...”. Kami menantikan maklumbalas sejak bulan Ogos 2008 untuk pembaikan dan akhirnya kemelut dan keresahan ini yang ESQ dapatkan....

Walauapapun, terima kasih kerana pick up panggilan telefon saya semalam. It was least expected, dan saya salah apabila beranggapan Ustaz tak mungkin ingin berbicara dengan saya. Terus-terang, saya lega dapat bercakap dengan Ustaz. Terus terang juga, setiap kali saya membaca komen-komen Ustaz di blog peribadi Ustaz, sharing dari pertanyaan di ceramah Ustaz di masjid-masjid yang menceritakan kehodohan dan kejelekan ESQ yang Ustaz dakwa serta khabar yang disampaikan oleh beberapa Jawatankuasa Fatwa beberapa negeri tentang presentation Ustaz tentang ESQ (walau JK Fatwa Kebangsaan telah meneliti dan membenarkan ESQ berjalan) yang mengandungi fakta-fakta lama yang tidak lagi ESQ gunakan.... perasaan saya bercampur baur.... kenapa sejauh ini Ustaz bertindak...tidak pernah bersemuka, tidak pernah menegur kami, tidak pernah menasihati kami, malah kalau benar ESQ itu salah akidah, kenapa sejak ustaz hadir ke training pada tahun 2008, tidak terus sahaja memanggil ESQ dan menyampaikan bahawa itu dan ini salah... agar tidaklah seramai sekarang alumni ESQ terus ’terseleweng dan rosak akidah’nya... termasuk 8 mufti dan timbalan mufti di lapan negeri. Ustaz punya ilmu yang tinggi, alangkah lebih mudah menegur dan menasihati daripada menghakimi dan menutup pintu dari menasihati kami. Semalam terkeluar kata-kata dari mulut ustaz, ’kalau nak nasihat tulislah secara official....’ Banyak sudah surat yang kami hantar kepada jabatan ustaz... tanpa reply apabila minta dinyatakan salahnya dimana. Apapun kami tetap update apa pembaikannya. Kerana Allah swt, kami pinggirkan segala rasa kerana kami telah melihat bagaimana kesan training ke atas pelbagai ahli masyarakat dan syarikat.

Selama dua tahun ini juga kami belajar erti kesabaran... satu persatu tuduhan mendatang dikata Yahudi, didakwa gerakan Kristian, dituduh gerakan terancang dan halus ke arah pemurtadan besar-besaran... dengan kuasa, jawatan, kemudahan dan kredibiliti yang ada pada yang telah menghukum dan melabel kami, tak mungkin untuk kami membela diri demi menegakkan kebenaran hatta menjelaskan apa yang kami maksudkan... kerana kami tiada apa. Bangkit mempertahankan dan membela diri akan dilihat sebagai melawan, senyap seolah-olah mengiyakan segala dakwaan kesesatan. Lalu apa...?

Kenapa saya berpaling kepada Ustaz? Kenapa tidak yang lain? Kerana ustazlah orang pertama yang datang menilai ESQ... pada pandangan saya juga, ustaz juga orangnya yang sangat overzealous, benar-benar berusaha untuk menyampaikan dan membentangkan kajian dan pandangan terhadap ESQ yang dakwaannya salah akidah. Pandangan ustaz sebagai orang yang pertama datang dan menilai ESQ berbeza dengan pandangan-pandangan dan keputusan badan rasmi negara dan tokoh-tokoh ulamak serta tokoh akademik di bawah:

1. Keputusan Rasmi JK Fatwa Kebangsaan dimana Kertas Kajian tentang ESQ telahpun dibentangkan sebanyak 7 kali dan dimuktamadkan pada 16 hb Jun 2010 bahawa ESQ boleh diteruskan cukup dengan pemantauan oleh Panel Syariah dan Akidah ESQ. Keputusan JK Fatwa Kebangsaan dibuat di dalam mesyuarat JK Fatwa Kebangsaan di mana Jakim adalah Sekretariatnya dan ustaz bekerja di bawah Jakim. Teringat kata-kata ustaz semalam, ”kalau Jakim nak ambil tindakan (ke atas Ustaz), ambillah...” . Pada saya ia seolah-olah ustaz begitu yakin tidak akan terkena apa-apa tindakan dan seolah-olah pergerakan dan tindakan ustaz dilindungi dan atas restu somebody in power.

Ahli-ahli di dalam JK Fatwa kebangsaan yang terdiri daripada Pengerusinya yang juga merupakan Pengarah International Fatwa (INFAD), 5 ahli yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja, seorang tokoh perundangan beragama Islam serta 14 orang mufti mempunyai wibawa tersendiri dari segi keilmuannya. Apakah mereka salah menilai dan tersilap membuat keputusan?

2. Pandangan Ustaz yang hadir pada ESQ Training Angkatan 21 untuk mengharamkan ESQ difahamkan berbeza dengan pandangan Penilai kedua yang dihantar secara rahsia oleh pihak PKA pada ESQ Training Angkatan 22. Penilai kedua yang dihantar difahamkan memberikan laporan dan cadangan berbeza dan bertentangan dengan Ustaz. Ada beberapa cadangan dari Penilai kedua yang serta merta kami ikuti pada ESQ Training berikutnya, iaitu Angkatan 23 contoh: Slide Sajak Salam Perdamaian dibuang kerana dikatakan sajak yang boleh mengelirukan.

3. Terdapat 6 orang Mufti dan 2 orang Timbalan Mufti yang telah hadir ke ESQ Training dan tidak mendapati wujud sebarang penyelewengan. Ini termasuk YBSS Tan Seri Harussani, Mufti Perak dan YBSS Dato’ Hassan Ahmad. YBSS Tan Seri turut merupakan Pengerusi Teks Al Quran dan buku di bawah KDN serta pernah mengharamkan lebih 83 ajaran sesat di Perak. Apakah ada kemungkinan kesemua mufti dan timbalan mufti ini tidak secermat ustaz dalam menilai?

4. ESQ telah melantik 5 orang Panel Shariah dan Akidah yang terdiri daripada mantan Ketua Pengarah Jakim, 3 orang mantan Mufti dan seorang Dekan, Fakulti Pengajian Al Quran dan As-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia. Mereka semua telah hadir ke ESQ Training sebagai peserta training dan telah selesai menyemak buku ESQ. Mereka juga tidak mendapati sebarang salah akidah atau kesalahan pokok kecuali dari segi istilah, pemahaman diperjelaskan agar tidak menimbulkan kekeliruan. Perlu juga dimaklumkan mereka bukan hadir satu training, malah berpuluh kali dan dari peringkat asas training sehingga ke peringkat Self Controlling & Strategic Collaboration.

5. Tokoh-tokoh akademik yang datang secara sukarela dari Jabatan Usuluddin UIA, UM, Pusat Islam USM, Ulamak dari UMNO dan Ulamak PAS tidak pernah memberikan maklumbalas penyelewengan akidah sebagaimana ustaz.

6. Di Indonesia, ESQ Training yang telah dilaksanakan sejak 10 tahun lalu telah dihadiri oleh pelbagai organisasi Islam termasuk Nahdatul Ulama yang telah ditubuhkan lebih 100 tahun. Ia juga telah dinilai dan disemak oleh Departmen Agama di Indonesia dan tiada penyelewengan Akidah. Ulamak-ulamak seperti Bpk Din Shamsuddin, Bpk KH Amidhan Shaberah, Bpk KH Hasyim Muzadi, Bpk Didin Hafifudhin dan lain-lain turut menilai ESQ Training dan mereka menyokong pelaksanaannya. Selain daripada dukungan ulamak, ESQ telah disertai 7 menteri dan 150 orang dari Dewan Perwakilan Rakyat (DPR). Apakah kesemua mereka ini langsung tidak dapat mengesan kesalahan akidah serta bahaya ESQ sekiranya ada?

Saya ingin ulang lagi permintaan saya seperti di telefon semalam.... agar kita duduk dan berbincang. Saya sedih Ustaz menolak permintaan untuk duduk dan berbincang untuk kepentingan ummah.... semalam berkali-kali saya minta kepada ustaz, namun berat sekali hukuman ustaz; tidak ada gunanya duduk berbincang kerana masalahnya ada pada Pengasas ESQ, Ary Ginanjar Agustian, kata ustaz.

Sejauhmana hati seorang manusia dapat Ustaz baca.... Izinkan saya dalam kecetekan ilmu saya berkongsi sebuah kisah yang pernah diceritakan seorang guru agama. Kisah seorang Sahabat, Usamah bin Zaid yang telah membunuh seorang musuh di dalam perang. Musuh tetap dibunuh walaupun ia telahpun melafazkan syahadah. Rasulullah saw marah sehingga keluar urat di dahi Baginda.... apakah kita lebih layak untuk menghukum melebihi Rasulullah saw.... ?

Mampukah kita scan hati manusia, bahawa dia tidak ikhlas berubah, bahawa dia terpengaruh dengan perennial philosophy sedangkan nyatanya orang yang dituduh sebegitu telah bersumpah menafikan dengan nama Allah swt dan melafazkan syahadahnya. Siapa kita sehingga mempunyai hak yang sebegitu tinggi untuk melabelkan orang lain... alangkan Rasulullah saw sendiri tidak mencontohkan begitu pada kita. Ustaz, kita umat yang satu, mari kita buang benteng di antara kita... , buang perbezaan dan seterusnya mencari jalan untuk bekerjasama dan lengkap-melengkapi demi kepentingan ummah. Bukankah itu lebih baik daripada perpecahan yang berlaku lantaran kekeliruan pendirian antara ustaz-ustaz, mufti-mufti berkenaan isu fatwa ini?

Ingin sekali kita berdamai dalam semangat ukhuwwah fillah. Alangkah lebih ringan hidup dalam baik sangka, menyempurnakan kekurangan, membantu memperbaiki kesilapan sesama kita atas ketinggian cinta kepada Allah swt dan Rasulullah saw,melebihi segala cinta kita terhadap diri kita sendiri....

Saat ini saya hanya mampu berdoa agar ada satu titik pertemuan agar kita dapat duduk dan berbincang. Kita jernihkan kekeruhan, kita tamatkan segala prasangka ini, kita hakiskan persepsi di antara kita, kita umat Rasulullah SAW, pertelingkahan ini merugikan dan mengelirukan umat.

Masih terngiang-ngiang pesanan Pak Habib Adnan, guru Bpk Ary Ginanjar, seorang hafiz Quran dan merupakan Majlis Ulama Indonesia (MUI) Bali, yang saya jumpa di Bali dalam bulan April 2009 beberapa bulan sebelum kematiannya... ”Kita cari sebuah persamaan. Ini saatnya untuk Malaysia dan Indonesia bersatu menghadapi dunia...”. Saya yakin ini harapan ramai orang dan inilah juga harapan para pemimpin kita.

Ustaz Aizam saudara seIslam saya,

Saya bukan saingan Ustaz, yang tinggi ilmu agamanya. Saya hanya lulusan UIA, dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dan kemudiannya menyambung pelajaran di bidang Kaunseling di UIA. Sepertimana Pak Ary sendiri yang sering mengatakan bahawa, ilmu Allah ini luas, banyak perkara yang kita tidak tahu dan kita ingin terus belajar dan memperbaiki diri. This is an unending process, the quest for knowledge. Kita bukan bercakap sekadar untuk basa basi... kita benar-benar ingin terus belajar dari semua orang, akan segala ilmu yang baik... dan itu tujuan asal bila kami approach Jabatan ustaz.

Sesuatu yang tak pernah saya jangkakan akan begini akhirnya atas sebuah permintaan yang benar-benar jujur untuk diberi bimbingan oleh institusi berwajib, yang misinya saya yakin untuk membimbing agar kita sebagai rakyat Malaysia sentiasa terjaga dari sudut akidah dan kejernihan Islamnya.

Ada sesuatu yang menggerakkan saya untuk memohon bimbingan dan nasihat dari Jakim (sebagai badan yang bertanggungjawab) ke atas perjalanan ESQ di Malaysia; iaitu makluman dari salah seorang alumni bahawa filem ”The Message” dan sedutannya tidak boleh digunakan di Malaysia. Saya diberikan kertas pewartaannya sekitar bulan Jun 2008. Ia seperti wake up call pada saya yang saat itu baru bekerja di ESQ.

Sebagai orang yang dilatih dalam pengurusan dan pentadbiran, saya bertanggungjawab memastikan apa jua di sudut operasi ESQ adalah mematuhi kehendak undang-undang di negara kita, termasuk membayar semua royalti muzik dan lagu yang digunakan kepada MACP, menjelaskan cukai, zakat kepada Pusat Pungutan Zakat Negeri Selangor, menjalankan program kualiti ke arah Shariah Compliance dan paling penting atas semua itu, buku dan training ESQ mematuhi kehendak-kehendak di negara ini.

Contohnya sebelum ini ayat-ayat Al Quran yang digunakan merujuk kepada terjemahan Quran di Indonesia, sedangkan di Malaysia ada Terjemahan Pimpinan Rahman yang diiktiraf oleh Jakim. Setelah penubuhan Panel Syariah dan Akidah ESQ pada bulan September 2009, kami lebih jelas dan banyak dibimbing. Rupanya banyak perkara yang sebelum ini kami tidak fahami, mula kami fahami sedikit demi sedikit. Panel Shariah sendiri berserta pihak pengurusan ESQ kerap mendapatkan penjelasan atas apa yang ingin disampaikan di dalam buku dan training dari Pengasas ESQ. Sehingga saat ini Bpk Ary Ginanjar terbuka menerima pembaikan-pembaikan sepertimana saranan panel.

Menyorot kembali pertemuan saya di tengahari bulan Julai 2008, saya datang dengan harapan, dengan sebuah kepercayaan yang kami akan dibantu. Pertemuan dengan pengurusan tertinggi di Jakim, menyejukkan hati... Jakim akan bantu untuk melihat dan menasihati, itu janjinya.

ESQ cuba meneroka ke wilayah HR dan Leadership yang selama ini dikuasai oleh Teori-Teori Barat. Hasil training, program-program CSR dan sumbangan training yang dijalankan oleh Bpk Ary Ginanjar telah menampakkan hasil di bidang pembinaan karakter sehingga melayakkan beliau untuk menerima Dr Honoris Causa dari universiti tempatan serta Anugerah Integriti dari Polis Indonesia. Beliau seorang pakar yang diiktiraf di Indonesia dan telah berpengalaman melatih hampir sejuta orang di bidang pembinaan karakter dengan merujuk kepada Al Quran dan As Sunnah. Alangkah lebih baik dengan ilmunya ini kita sinergikan dengan kekuatan dukungan dari bimbingan para ulamak. Saya kutip sedikit petikan dibuku terjemahan arwah ayahanda Ustaz Hj Mohd Tahir Daeng Mengati, ”Langkah Bermula”, mukasurat 196-197, dalam semangat mencontohi Rasulullah saw;

Ustaz al- Maududi pula menyeru kamu supaya merenung sejarah Nabi Muhammad S.A.W, ”Lihatlah Baginda pada mulanya berdiri keseorangan menghadapi dunia seluruhnya. Lihatlah Baginda menolak pemikiran-pemikiran yang salah dan jalan-jalan yang bengkok yang menguasai dunia seluruhnya. Baginda mengemukakan satu akidah yang datang dari Allah... Sesungguhnya menegakkan kepimpinan yang soleh di bumi Allah ini merupakan suatu tugas yang sangat penting dan mustahak di dalam sistem Islam. Setiap orang yang beriman dengan Allah dan Rasulnya dan mengambil ’deen’ yang mulia ini tidak akan selesai kerjanya kecuali dengan mengorbankan seluruh tenaganya dengan segenap kemampuannya untuk membentuk hidupnya menurut acuan Islam. Sekiranya tujuan dan maksud tertinggi dan mulia itu tak mungkin dapat direalisasikan kecuali dengan usaha secara berjemaah, maka tidak boleh tidak, mesti dibentuk satu jemaah yang soleh dan beriman di mukabumi ini...”

Ustaz Aizam, marilah kita bersinergi untuk sebuah kepentingan yang lebih besar... ummah. Masyarakat semakin rosak sedangkan kita terus bertelagah.... cukuplah kita habiskan waktu di bilik-bilik seminar dan dewan-dewan muktamar, berhujah mencari salah sesama kita. Sedangkan kesalahan itu amat mudah untuk dibaiki dengan nasihat dan rasa mahabbah sesama kita.

Kalau Ary Ginanjar main issue nya, kamilah jambatannya di sini. He is no more than an ordinary man, yang masih banyak kekurangan tapi punya sebuah cita-cita agar Al Quran dan As Sunnah menjadi rujukan di dalam membentuk karakter manusia. Dia hanya manusia kecil yang hanya ada sedikit keberanian untuk membawa ultimate solution ini ke wilayah korporat dan pengurusan zaman ini yang sudah terbiasa dengan bahasa Stephen Covey, Dale Carnegie, Peter Drucker dan lain-lain.

Ustaz Aizam sahabat seagama, kalaupun tiada kesempatan untuk membimbing, izinkan ulamak lain yang sedia membimbing, menegur dan menunjuk jalan kepada kami dan izinkan kami agar di beri sedikit laluan untuk sama-sama berlumba berbuat kebaikan dan mengabdikan diri kepada Allah swt dengan cara yang kami mampu.

Mohon maaf zahir dan batin atas kata-kata yang salah dan luahan terdalam dari hati ini. Saya menulis agar kita padamkan api pertelingkahan ini. Pun begitu, saya hanya mampu menyerahkan segala-galanya kepada Allah swt.... semoga Allah swt ikat hati-hati kita semua dijalanNya...

Wassalam, terima kasih dan selamat menyambut Ramadhan.





"...Maka janganlah mengatakan bahawa dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa."

(Maksud Surah An-Najm:32)