Pages

Sunday, February 13, 2011

Mengapa penjelasan fatwa melepasi sempadan negeri?

Lama saya berhenti menulis di blog, berharap segala kekusutan akan berhenti, berdoa ada jalan damai, namun tulisan demi tulisan di laman web Mufti Wilayah tidak pernah berhenti, sehebat tulisan di Suara Jagat yang terus menyatakan bahawa ESQ adalah gerakan penyesatan secara senyap.

Terkini, 23 Februari sebuah seminar  bakal diadakan lagi anjuran Jabatan Mufti WP.  Untuk menjelaskan fatwa Wilayah Persekutuan, seluruh agensi Kerajaan, badan-badan korporat dari semua negeri di Malaysia bakal dikumpulkan di Dewan Muktamar Pusat Islam. Mengikut catatan, ini sudah entah kali ke 3 atau ke 4 seminar seperti ini diadakan.  Sudah berapa banyak wang yang dihabiskan bagi menjelaskan fatwa ESQ Sesat di Wilayah Persekutuan?  Mengapa begitu keterlaluan sehingga dipanggil syarikat luar dari WP bagi melakukan Penjelasan Fatwa yang sepatutnya berlaku hanya untuk Wilayah Persekutuan?

Setelah ESQ di gazet haram di Wilayah Persekutuan, kami akur dan segera  menghentikan semua ESQ Training di WP.  Venue yang telah kami booking untuk training, semuanya kami cancel walau ada wang deposit yang telah kami dahulukan.  Biarlah.  Keputusan pengharaman di WP perlu kami patuhi dan hormati.

Namun, rupanya pengharaman tidak berhenti di situ.  ESQ terus menerima ’serangan’ tanpa henti oleh Jabatan Mufti WP.  Di dalam ’memerangi’ ESQ, berapa banyak wang yang telah digunakan untuk menyediakan buku-buku seminar, flyers, tempat, makan, menerbangkan individu dari Indonesia (tanpa merujuk kepada badan dakwah yang di iktiraf oleh Kerajaan Indonesia).... dan berapa banyak man hour yang telah dihabiskan untuk travel dan meninggalkan agensi dan syarikat-syarikat agar faham ”ESQ Haram” di Wilayah Persekutuan? Kenapa penjelasan fatwa tidak terhad kepada agensi dan syarikat di dalam WP sahaja? Walhal keputusan muzakarah Islam tertinggi di Malaysia yang dianggotai oleh semua mufti semua negeri dan beberapa yang dilantik adalah berbeza dengan Wilayah Persekutuan.

Memanggil jabatan yang bukan berada di Wilayah Persekutuan seperti di Perak, Johor, Kedah, Penang, Selangor dan lain-lain apakah maksudnya?

Kenapa usaha untuk menjelaskan fatwa ini agak keterlaluan? 

Walhal sejak Fatwa Kebangsaan membenarkan ESQ terus dilaksanakan, kami terus akur dan melaporkan semua perkembangan ESQ kepada Fatwa Kebangsaan, di mana Mufti WP salah satu ahlinya.  Terbaru, saya telah menyampaikan surat dan certificate Patuh Shariah kepada JK Fatwa Kebangsaan dari Majelis Ulama’ Indonesia (MUI). Sijil Patuh Shariah yang telah dikeluarkan oleh majlis Musyawarah Islam tertinggi di Indonesia itu, yang juga bertanggungjawab mengeluarkan fatwa di Republik Indonesia telah dikeluarkan pada 25 Januari lalu setelah kajian terperinci dijalankan ke atas ESQ.

Kenapa begitu keterlaluan menjelaskan fatwa sehingga melampaui batas Wilayah Persekutuan?

Surat rasmi di tulis oleh Mufti WP kepada badan agama sehingga melepasi sempadan negara Malaysia, iaitu hingga ke Singapura dan Brunei.  Hanya hairannya, di Indonesia tidak ditulis kepada badan agama, tetapi kepada individu yang boleh saja ada kepentingan peribadi.

Mungkin mereka merasakan inilah sebuah perjuangan yang suci, sehingga perlu diperangi ESQ secara habis-habisan.  Menyerang sesama Islam, melabelkan Yahudi sesama Islam, meyakinkan orang lain bahawa saudara seIslam ini sesat, berfahaman liberalisme, pluralisme dan secularisme... kalaulah segala apa yang dilakukan ini disalurkan tenaga dan wangnya untuk menyebarkan dakwah atau memerangi sesuatu yang lebih jelas haramnya atau yang lebih jelas keruntuhan akhlaknya... alangkah! Namun apa yang sedang berlaku setelah ke training, hasil pemerhatian, semakin ramai yang dahagakan ilmu agama dan mula mencari kelas-kelas pengajian, semakin ramai yang solat dan menutup aurat... semakin ramai yang ingin meneguhkan Tauhid dihati dan mencari cinta Allah.  Itukah yang diperangi?

Kalau ESQ gerakan penyesatan secara senyap, pasti kami tidak encourage pengajian-pengajian di luar, dengan para ulamak dan ustaz yang ada, kerana perkara haq tidak mungkin boleh bercampur aduk dengan perkara batil.... Wallahua’lam.

Selama ini, terlalu banyak yang ingin dijaga oleh kami.  ESQ berjuang sendiri dan dengan apa adanya. Tanpa kuasa, tanpa kedudukan, tanpa wang yang banyak, tanpa networking, kami mengetuk semua pintu.  Di institusi agama sehingga ke istana.  Berharap ada yang mendengar dengan adil dan Alhamdulillah ramai yang faham dan ada yang simpati, apalagi setelah mengikuti dan memahami apa yang ESQ bawa iaitu solution Islam ke dalam Human Resources yang selama ini dikuasai oleh solution Barat yang tiada Al Quran dan As Sunnah.

Mengikut catatan, inilah langkah-langkah yang telah dilakukan sebelum dan selepas ESQ di Gazet Haram di WP pada 17 hb Jun 2010, walhal malam 16 hb Jun 2010, Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang diwakili oleh SS Mufti semua negeri, Pengerusi yang dilantik dan beberapa panel yang dilantik telah bersetuju ESQ diteruskan di Malaysia.  Siapa yang tidak akan percaya, jika ini antara usahanya (setakat yang kami tahu)? Menggunakan segala saluran, kuasa dan networking seperti dibawah, ini belum lagi perjumpaan dengan tokoh-tokoh di beberapa majlis yang kami tahu:

Setelah JK Fatwa Kebangsaan benarkan ESQ dilaksanakan dan ESQ Di Gazet Haram di WP (setelah 17 Jun 2010 hingga sekarang)
  1. Forum ESQ Way Satu Penjelasan anjuran Jab Mufti WP
  2. Artikel di Laman Web Rasmi Mufti WP: Tembelang ESQ Pecah
  3. Tulisan di Laman Web Rasmi Mufti WP: Warkah dari Bandung
  4. Tulisan di Laman Web Rasmi Mufti WP: Konsep ESQ Bermasalah
  5. Tulisan di Laman Web Rasmi Mufti WP: ESQ Di Sana Sini
  6. Seminar Pemurnian Akidah 2010 (Topik ESQ) anjuran Jab Mufti WP
  7. Tulisan di Laman Web Rasmi Mufti WP: Siapa Dia Nasaruddin Umar dan Din Syamsuddin
  8. Forum: Wajarkah ESQ Diharamkan
  9. Tulisan di Laman Web Rasmi Mufti WP: Apabila Yahudi Reda Dengan Islam
  10. Surat Rasmi berserta dokumen kepada Tokoh-Tokoh di Malaysia, Singapura dan Brunei tentang ESQ dan Yahudi
  11. Tulisan di Laman Web Rasmi Mufti WP :Siapakah Said Aqiel Siradj
  12. Tulisan di Laman Web Rasmi Mufti WP:  Penghinaan terhadap Asmaul Husna
  13. Seminar Penjelasan Fatwa 2011 (Topik khusus ESQ)

Sejak Mei 2009 hingga Mac 2010, sebelum Gazet ESQ haram di WP

  1. Kebocoran Kertas Sulit Panel Kajian Akidah (PKA) yang di Pengerusi kan oleh Mufti WP.  Tersebar dengan meluas di blog ESQ Sesat
  2. Tulisan di Laman Web Rasmi Mufti WP: Kertas Gerakan Islam Liberal Di Indonesia Dan Kaitannya Dengan ESQ
  3. Penayangan Buku ESQ (Versi Inggeris) di program : Bicara Ad Din TV 1 oleh Mufti WP
  4. Taklimat Penyelewengan ESQ kepada kakitangan Jab. Hal.  Ehwal Islam Negeri Sembilan (JHEINS) oleh Mufti WP
  5. Sidang Akhbar Penyelewengan ESQ oleh Mufti WP
  6. Muatan Artikel Mengenai ESQ di Majalah Al Islam, maklumat dari jab Mufti WP
  7. Email Penyelewengan ESQ serta surat tersebar meluas kepada klien dan orang ramai, sumber dari Jab Mufti WP

Mungkin kerana betapa intense nya usaha tersebut, sehingga ramai yang beranggapan ESQ sememangnya sesat.  Sehingga ramai yang terlupa dan keliru bahawa musyawarah dan muzakarah Islam yang tertinggi di Malaysia telah membenarkan ESQ diteruskan, tanpa halangan, sehingga saat ini.

Betapa powerful nya sesuatu apabila dilakukan secara intense.  Yang haq boleh terlihat batil.  Masyarakat akan terus keliru, apa lagi yang kurang memahami urusan agama.  Seperti saya, yang pastinya akan menyerahkan urusan agama kepada orang agama.  Walau majoriti SS Mufti menyokong pelaksanaan ESQ di negeri masing-masing dan di dalam negara Malaysia, Muzakarah Fatwa Kebangsaan membenarkan ESQ, dan walaupun badan tertinggi yang dirujuk di Indonesia, MUI telahpun mengeluarkan Certificate Patuh Shariah kepada ESQ, tetapi kerana usaha yang tak kenal lelah oleh seorang minoriti, ia boleh berjaya. Masyarakat akan percaya.  Keliru halal dan haramnya.

Kami serahkan perjalanan ESQ di Malaysia ini kepada Allah SWT sepenuhnya.  Sebagai hamba, kami menerima dengan ikhlas perjalanan qada’ dan qadar ini, pasti hikmahnya terlalu banyak untuk kami.  Kami menerimanya sebagai cara Allah SWT memberi anugerah, menajamkan lagi inti, metod dan cara training ini  dilaksanakan kerana setiap hari adalah proses pembelajaran dan pendidikan yang berterusan.  Moga Allah jaga semua hati yang di dalam GenggamanNya, moga Allah lindungi kita semua, umat nabi Muhammad saw, dari tipuan syaitan yang direjam.  Moga Allah satukan hati-hati kita di jalanNya yang benar... dan kita tidak termasuk di kalangan orang-orang yang rugi.

No comments:

Post a Comment