Pages

Friday, September 10, 2010

Titik temu

Sejak malam tadi, setelah selesai solat sunat tasbih, dalam doa yang dipanjatkan, imam mendoakan agar selamatkanlah ummah ini… tiba-tiba hati jadi sayu, akan adakah titik temu di antara kita?

Hari ini hari kemenangan umat Islam, alangkah indah hidup dalam kasih mengasihi, hormat menghormati, maaf memaafkan. Alangkah indah kiranya semangat Syawal ini kita bawa sepanjang tahun, kita bentuk akhlak kita dengan semangat ini. Kita menjadi orang yang pemaaf, yang lebih dahulu meminta maaf dari yang lain.

Saya teringat dalam satu majlis kahwin di Pulau Pinang, kami yang berbeza ’jalan’, makan durian bersama-sama... duduk semeja dan berkongsi tips dan cerita durian. Ada dari Kuala Lumpur dan ada dari Jakarta. Ada juga ibu bapa Pak Ary yang turut hadir di walimah tersebut. SS Tan Seri Harussani dan Puan Seri menjadi 'jambatan' kami.  Saat itu dalam hati, saya merasakan indahnya kebersamaan. Kalaulah durian boleh menjadi titik temunya... terlalu ideal apa yang saya fikirkan saat itu. Mengenangnya kembali hari ini, saya menginsafi bahawa Allahlah Yang Maha Menggenggam jiwa-jiwa manusia... belum ada pertemuan hati di antara kami, maka saya harus menerimanya seadanya.

Saya teringat program ’Mystery Shopper” yang sering saya lakukan dahulu ketika bekerja di syarikat sebelum saya ke ESQ, untuk menilai perkhidmatan yang kami berikan di cawangan-cawangan kami. Ia menjadi salah satu pendekatan untuk kami menilai suhu ataupun tahap perkhidmatan kami secara jujur. Walaupun adakalanya pahit untuk kami terima, namun kami tidak boleh live in denial dan menidakkan dapatan yang kami perolehi.

Justeru itu, ketika saya mengesan timbul isu-isu ini, saya menghantar mystery shopper ke beberapa tempat untuk ’mengambil bacaan suhu’ ini. Dari rakaman yang saya dengar, saya dapati telah terlalu dalam keyakinan bahawa ESQ itu salah di kalangan orang-orang tertentu. Ada banyak kata-kata yang keluar yang menunjukkan keyakinan yang begitu dalam. Ketika saya mendengarnya dengan teliti, berulangkali, saya cuba melihat perkara-perkara yang disebut dengan jujur agar saya tidak menafikan realiti, namun saya dapati banyak perkara yang diterima secara salah, dan banyak maklumat salah yang telah di masukkan ke dalam fikiran orang-orang tertentu.

Masing-masing merasakan apa yang dilakukan adalah sebagai sebuah perjuangan di sisi Allah swt; di pihak ESQ dan di pihak yang memerangi ESQ. Untuk yang memerangi, mereka merasakan ESQ dengan secara halus sedang merosakkan akidah umat Islam di negara ini. Di pihak ESQ pula inilah sumbangan untuk sebuah latihan kepimpinan, pembentukan karakter (akhlakul karimah) dengan merujuk kepada Al Quran dan As Sunnah. Pada ESQ, output yang ingin dicapai adalah cinta yang tinggi kepada Allah dan Rasulullah saw.  Lalu, di titik manakah akan ada sebuah pertemuan?

Kita membincangkan dua perkara yang berbeza, walau topiknya sama, ESQ. Tidak mungkin untuk terus berhujah, kerana tidak akan ada kesudahannya. Selagi hati-hati kita tidak bertemu dalam rasa mahabbah, jurang yang ada akan semakin melebar. Kita akan terus memandang dari sudut pandang yang berbeza. Kita akan terus berada dalam situasi kalah-kalah. Yang lebih parah, ummah ini dan imej Islam sendiri yang tercalar.

Dengan cabaran yang ada, saya melihat banyak laluan yang terbuka untuk ESQ menjadi lebih baik dari semalam. Sejak kali pertama saya hadiri ESQ pada tahun 2005, saya telah melihat beribu-ribu pembaikan yang dilakukan oleh Pengasas Model ESQ dan Pengasas Training ESQ. Banyak kemasan, banyak yang dimantapkan, banyak yang menjadi semakin tajam. Yang tidak pernah berubah hanyalah core kepada model tersebut iaitu Rukun Islam, Rukun Iman dan Ihsan.

Dan hari ini, ESQ beruntung mendapat bimbingan dari panel syariah dan akidah yang secara rasmi membimbing ESQ. Dengan cabaran yang dilalui juga ramai pakar HR dan mereka yang telah berpuluh-puluh tahun terlibat dalam HR dan training di syarikat-syarikat gergasi dengan berpuluh ribu staffs, datang menawarkan bantuan untuk membaikkan lagi latihan ini. Justeru itu, apa yang dilalui menjadi laluan untuk memperbaiki segala kekurangan.

Ketika saya hadir ke satu program untuk Muslim Trainers di Wangsa Melawati, saya melihat semangat yang berkobar-kobar di kalangan trainers muda. Bukan semua dari latar belakang agama. Namun saya melihat ada semangat yang tinggi untuk menyebarkan kebaikan dengan nilai-nilai murni yang ada dalam Islam dalam training yang masing-masing kendalikan. Ada usaha untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam latihan masing-masing. Mereka ada semangat, jangan matikan semangat itu.

Apakah mereka juga akan menerima nasib yang sama seperti ESQ, ketika mereka menceritakan apa yang Barat ada dan kemudian merumuskan di dalam Islam ada yang lebih baik dari itu? Sessi Ustaz Hasrizal, sharing yang diberikan kepada kami pada petang itu sungguh bermanafaat untuk menjadi panduan kepada semua trainers. Namun tidak cukup untuk hanya seorang Ustaz Hasrizal berkongsi, perlu ada garis panduan dari pihak berwajib. Perlu ada bimbingan. Jangan matikan semangat yang berputik. Biarlah ia berkembang mekar di dalam jagaan yang baik. Biarlah lahir golongan pemuda yang akan bangkit membimbing ummah ini.

Hari ini, hari yang sangat indah. Pagi Syawal di Kelantan yang basah dengan hujan renyai. Ada dua khutbah dalam satu hari. Saya mohon kita ikhlaskan doa, agar Allah selamatkan ummah ini. Pagi semalam juga ketika YBhg Dato Hj Nooh Hj Gadut menelefon, saya sempat mohon doakan keselamatan kita semua. Ketika bercakap dengan SS Tan Seri Harussani pagi semalam juga, saya merasa malu dengan jadual SS Tan Seri yang penuh untuk menyampaikan dakwahnya... tidak pernah berhenti walau apapun cabaran yang datang... mengenalnya, tidak lekang dari membicarakan soal ummah ini. Begitu juga dengan YBhg Tuan Guru Nik Aziz yang sejak kecil saya ikuti ceramah agama setiap Jumaat di Kelantan, ada satu persamaan di kalangan semua ulamak, mereka sangat kisah dengan ummah ini....

Mohon doa agar Allah bimbing kita di jalan yang lurus, agar Allah temukan kita semua dalam Tariqud Dakwah. Jangan pernah patah semangat untuk menyampaikan kebaikan, walaupun dengan satu ayat itu pesan yang sering saya terima daripada para ulamak yang dekat dengan kami serta Pak Ary sendiri.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf zahir dan batin kepada semua.  Moga Allah limpahkan RahmatNya yang banyak kepada kita semua.

Wednesday, September 8, 2010

Cabaran dan halangan

Saya tidak pernah berkesempatan untuk mengenali bapa mertua saya, Hj Mohd Tahir Daeng Mengati yang dipanggil Yek oleh anak-anak dan menantu. Saya hanya mengenali arwah Yek yang berasal dari Makassar melalui suami, mak dan adik beradik suami. Sepanjang hidupnya, Yek mewakafkan seluruh hidupnya untuk perjuangan; mendirikan beberapa buah sekolah agama, mengajar dan berniaga untuk menghidupi keluarga. Yek sempat menebas hutan menanam kelapa sawit agar sekolah Tahfiz yang Yek dirikan dan saat ini diteruskan oleh mak dapat dibiayai dari hasil kelapa sawit dan tidak terlalu bergantung harap pada sumber kewangan lain. Yek juga pernah menjadi Ketua Dewan Ulamak PAS Johor, sebagai wadah perjuangannya. Di akhir-akhir hidupnya, Yek banyak menterjemahkan buku-buku agama. Ada lebih 40 buah buku semuanya...

Petang semalam, dalam perjalanan panjang lebih 8 jam pulang kampung, dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, saya sempat membaca buku ”Jalan Dakwah” terjemahan Yek. Membaca ”Jalan Dakwah” terasa ia menterjemahkan banyak perkara dalam hidup saya, membuat saya lebih faham akan hakikat sebuah jalan yang saya pilih untuk saya lalui.

Berikut sedikit petikannya yang saya ingin kongsikan;

”Jalan dakwah adalah jalan yang mulia dan mahal. Dia itu adalah jalan yang dipenuhi dengan segala perkara yang dibenci oleh hawa nafsu dan bukanlah merupakan jalan yang ditaburi bunga-bunga yang mewangi.

Kita adalah manusia yang kadangkala benar dan kadangkala salah dan kadangkala kita berbeza pendapat. Ini merupakan perkara biasa bagi sesiapa yang bekerja dan berusaha di dalam sesuatu bidang. Tetapi, di bawah naungan cinta, kasih sayang dan persaudaraan kerana Allah dan dorongan ikhlas dan tajarrud (membulatkan diri kerana Allah), segala kesalahan boleh diperbetulkan, perbezaan pendapat boleh diperbaiki, penerangan boleh dibentangkan, dipertimbangkan dan dirumuskan serta dilaraskan. Hal ini mendorong tolong-menolong dan bahu-membahu di antara kita semua. Perbezaan pendapat di dalam sesuatu perkara tidak merbahaya selagi ditauti oleh rasa cinta dan kasih sayang.

Segala usaha yang membina perlu ditumpukan kerana generasi yang sedang tumbuh dan mekar dalam mendidik dan mempersiapkan mereka dengan sebaik-baiknya.

Kita sentiasalah tanpa henti meminta pertolongan kepada Allah Taala supaya Dia membawa kita,memimpin kita melalui jalan yang benar dan menunjuki kita jalan lurus kerana sesungguhnya Dia Maha Kuasa membuat apa yang dikehendakinya”.

Saya juga ingin memetik tentang menghukum orang lain di dalam buku tersebut;

”Tiap-tiap seorang dari kita akan disoal dihadapan Allah: ’Sudahkah kamu menyeru keluargamu, jiranmu, kenalanmu dan semua orang yang berhubung dengan kamu kepada Allah; untuk melaksanakan kitab Allah dan sunnah Rasulullah saw atau belum?’ Kamu tidak akan disoal: ’Sudahkah kamu menghukum ke atas si pulan atau belum? Kenapa kamu tidak menghukumnya?’ Kerana itu tidak termasuk di dalam taklif syariah. Yang menjadi tugas kamu dan diberi pahala jika kamu melaksanakannya adalah tugas dakwah, menyeru manusia kepada Allah dan kamu akan di azab jika kamu mencuaikannya.

Kamu tidak akan diseksa jika kamu tidak menghukum, tetapi sebaliknya jika kamu melakukannya (menghukum), kamu akan terdedah kepada azab yang sangat keras apabila kamu tersalah memberi hukuman.

Kita semua maklum tentang kehormatan seorang muslim bahawa tiap-tiap Muslim ke atas Muslim yang lainnya haram darahnya, hartanya dan kehormatannya ”.

Imam Bukhari r.a bahawa Abu Dzar mendengar Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

”Tidak boleh seorang lelaki menuduh lelaki yang lain sebagai fasik atau kufur kerana tuduhan itu akan kembali semula kepadanya jika yang dituduh itu tidak sedemikian”

Masih kita ingat kisah seorang tentera yang berperang di barisan Musyrikin dan mengucapkan dua kalimah syahadah, kemudian dia dibunuh oleh Usamah bin Zaid ra setelah dia mengucap dua kalimah syahadah kerana Usamah menyangkanya sebagai satu helah untuk mengelakkan dirinya dari dibunuh, tetapi Rasulullah saw sangat marah dan kesal terhadap tindakan Usamah lalu bersabda kepadanya: ”Kenapa engkau tidak membelah dadanya?”.

Perjalanan lalu yang telah menjadi lipatan sejarah ini terasa sangat bermakna pada saya hari ini. Ia datang sebagai peringatan dari Allah untuk saya... ia juga mengingatkan saya bahawa jalan Tauhid penuh dengan cabaran dan halangan. Kesabaran, ketahanan, penanggungan, pemberian adalah kemuncak kepada sikap positif. Apabila kita menjual diri kita kepada Allah, kita tidak akan pernah rugi. Jangan sesekali melakukan apa jua perkara kerana mengharapkan reda daripada manusia lain, siapapun mereka. Saya yakini itu.

Syawal lima belas tahun yang lalu, Yek pergi buat selama-lamanya. Dalam sakitnya, tidak dapat lelap di malam hari, Yek manafaatkan waktu untuk menterjemahkan banyak buku. Yek tidak pernah memikirkan kesakitannya namun Yek lebih memikirkan kesakitan ummah sehingga Yek seperti tidak punya waktu yang banyak untuk terus memberi.

Sehingga sekarang, mak masih rindu pada Yek... rindu pada didikan dan perjuangannya. Tanpa sedar, ada rasa sayu yang menyelinap di hati, hati saya bergetar... dan mata saya basah di subuh tadi. Kalaulah Yek ada di depan saya saat ini, apakah akan Yek katakan pada saya...

Al fatihah buat Yek, saya ingin lebih mengenalnya. Moga Allah swt jumpakan kami nanti, ketika saya pulang ke kampung yang lebih jauh perjalanannya dari apa yang saya tempuhi malam tadi. Kampung yang kekal abadi. Sungguh, saya rindu. Rindu pada kampung halaman saya yang sebenar. Dan saya ingin jumpa Yek, ingin bertukar cerita dengannya. Moga Allah izinkan nanti... Amin.

Tuesday, September 7, 2010

17 Mei, 17 Pembaikan, 17 Jun ESQ Haram

17 Mei 2009, ada surat yang saya hantar kepada pihak berwajib menyampaikan 17 pembaikan yang telahpun kami lakukan. Saat itu, kami meneka dalam samar apa kah pembaikan yang mereka mahu kami lakukan.

Begini bunyi sedikit petikan dari surat yang saya hantar, surat yang hanya berkomunikasi sendiri, sepi tanpa sebarang balasan:

”YBSS Dato’, kami dengan rendah hati ingin memaklumkan kepada YBSS Dato’ bahawa kami berusaha untuk memahami garis panduan JAKIM agar ESQ Training yang dijalankan selari dengan kehendak di Negara ini.

Sehubungan dengan itu, kami telah mendapatkan khidmat tokoh-tokoh bagi menilai modul kami dan mereka telah menghadiri ESQ Training baru-baru ini. Bersama-sama ini, kami lampirkan salinan DVD ESQ Leadership Seminar KL 34 yang bertajuk Pandangan Tokoh. Selain dari itu, disertakan juga lampiran penambahbaikan ESQ Modul (bermula 8hb Mei 2009) dan keratan-keratan akhbar untuk perhatian YBSS Dato’.

Untuk makluman YBSS Dato’, kami terbuka untuk sebarang cadangan bagi melakukan pembaikan yang berterusan asalkan ia adalah dalam ruang lingkup aqidah dan tidak bertentangan dengan Ihsan, Rukun Iman dan Rukun Islam yang kami bawa”.

Kami menyenaraikan 17 pembaikan yang telah kami lakukan. Namun pada 17 Jun 2010, setahun sebulan setelah kami menyatakan kesediaan untuk menjelaskan apa yang menimbulkan kekeliruan dan kami juga sedia untuk berubah mengikut kehendak pihak berwajib, ESQ diharamkan.

Pun begitu, kami reda dengan keputusan ini.

Namun, dari satu segi lain, sehingga kini saya terus diasak pertanyaan, apakah ESQ ada hujah ilmiah untuk semua dakwaan? Apakah ESQ berada di atas neraca kebenaran? ESQ jangan sombong dan ESQ tidak pernah berubah... yang salah tetap salah... apa lagi soal akidah, dakwa mereka.

Saya hairan kenapa perkara ini terus beredar, masih belum cukup rupanya keputusan JK Fatwa Majlis Kebangsaan. Mahu tidak mahu, saya perlu address perkara ini, apatah lagi saya perlu menjaga kredibiliti ESQ sebagai badan latihan dan kepentingan staff yang berjumlah 44 orang yang mewakili 44 keluarga, orang kita, orang Malaysia. Walaupun, acapkali saya merasa kelelahan untuk menjelaskan. Kami anggap perkara ini telah selesai, namun rupanya belum.

Dengan kes yang telahpun dibincangkan sebanyak 7 kali di Muzakarah Fatwa Kebangsaan rupanya masih belum cukup untuk mententeramkan hati sesetengah pihak... masih belum cukup ilmiah penjelasan kami pada sesetengah pihak walaupun JK Fatwa Kebangsaan telah memuktamadkan keputusannya. Dan setelah keputusan JK Fatwa Kebangsaan pada malam 16 Jun 2010, sepertimana yang diputuskan, Panel Syariah dan Akidah ESQ telahpun menghantar kemaskini pembaikan ESQ kepada JK Fatwa Kebangsaan, Tan Sri Pengerusi dan ahlinya. Panel juga bersedia untuk membentangkan pembaikan yang telah dilakukan dari masa ke semasa. Ditajamkan lagi istilah-istilah yang menjadi kekeliruan, diperjelaskan lagi maksud ayat-ayat dan dihilangkan penemuan-penemuan Sains yang disalahtafsir. Keakuran kami dan Pak Ary sendiri di dalam menerima semua pembaikan ini turut dipertikaikan... apakah ikhlas untuk berubah atau semata-mata untuk mengaburi mata sesetengah pihak?

Sehingga mana akan tenteram hati mereka?

Sepertimana yang telah pernah saya tulis, kami telah menjelaskan perkara ini kepada JK Fatwa Kebangsaan. Kami telah menjelaskan secara tertulis, dan sesetengah jawapan kami, telahpun kami release kan untuk umum di blog esqlc165.blogspot.com. (boleh di klik di blog ini).  Dari segi penjelasan, kami terus berkeliling bersama panel syariah kami, secara tertutup. Sehingga semalampun, kami masih terus bergerak untuk menjelaskan... ke Utara dan Selatan.

Membuka perkara ini kepada umum dengan istilah-istilah yang hanya difahami oleh cerdik pandai agama akan hanya semakin mengelirukan keadaan. Tidak semua orang fahami jawapan ilmiah. Tidak semua orang seperti saya familiar dengan perkataan-perkataan, istilah-istilah yang digunakan, yang terlalu jauh dari bahasa management dan HR mahupun psikologi.

Siapakah yang meruntuhkan kredibiliti JK Fatwa Kebangsaan sehingga masyarakat hilang kepercayaan dalam soal ini? Apakah orang dalam sendiri? Saya tidak tahu...

Kenapa setelah 17 Jun 2010, masyarakat terus gelisah, ada banyak pertanyaan dari korporat dan agensi Kerajaan yang berada di luar Wilayah Persekutuan... Mereka menunjukkan bungkusan courier, dokumen-dokumen, tulisan dan tuduhan ESQ dan kaitannya dengan Yahudi yang mereka terima secara rasmi, e-mail yang mereka terima dari SS Dato’ Mufti Wilayah Persekutuan, biarpun sangat jelas syarikat mereka berada di luar Wilayah Persekutuan, namun tetap mereka terima kiriman dokumen tentang soal berkaitan ESQ.

Untuk kesekian kalinya, saya ingin bertanya apakah motif atas semua perkara yang dilakukan terhadap ESQ? Kerana motif ini jugalah yang sering ditanyakan kepada kami... kenapa dalam soal ini, perkara ini seperti tidak berakhir. Saya tiada jawapan.

Sungguh, kami tidak ada resources yang banyak untuk terus menjelaskan dan mengadakan forum secara terbuka sedangkan pada waktu yang sama nilai-nilai murni ini perlu disampaikan. Semua kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah atas apa jua yang setiap kita lakukan. Tidak terlepas juga kami di ESQ.

Justeru itu, berhentilah menghukum atas perkara-perkara ranting yang telah kami perjelaskan. ESQ hanyalah pakej training di bidang Kepimpinan (pembinaan karakter) yang berasaskan Rukun Islam, Rukun Iman dan Ihsan. Ia bukan sebuah ajaran atau agama baru sebagaimana dakwaan.

Lihatlah ESQ seadanya dan bukan diada-adakan akan perkara yang tiada. Apa yang tersirat, hanya Allah Yang Maha Tahu. Manusia tidak punya scanner gharizah di hati sepertimana Allah swt. Allah tidak pernah salah dalam menghisab... sekiranya siapa jua antara makhluknya berbuat salah... akan tidak pernah terlepas dari catatan Allah.

Lihatlah diri kita sendiri, setiap hari dalam kehidupan kita. Semoga kita semua; suami, isteri, anak-anak kita menjadi orang-orang yang bertakwa di sisi Allah swt.

” Sekiranya kita ingin membangunkan dunia, bangunkanlah bangsa kita, sekiranya kita ingin membangunkan bangsa, bangunkanlah keluarga kita, sekiranya kita ingin membangunkan keluarga, bangunkanlah diri kita sendiri....”





Sunday, September 5, 2010

Apabila mengambil...

Melihat gelagat manusia, kadang-kadang membuat saya tertanya-tanya.

Kita cuak dengan sesuatu, walaupun banyak manafaat yang telah kita dapat darinya. Kita tidak suka dengan ESQ, walhal banyak bahan-bahan training nya kita gunakan di dalam training kita. Kita rimas dengan Ary Ginanjar, tapi majalah keluarannya kita kaji dan jadikan konsepnya tak jauh daripada apa yang kita terbitkan. Lebih menyedihkan, kita dakwa betapa salah dan sesatnya ESQ, tapi kita masih lagi mendapat manafaat keewangan dari wujudnya entiti ini di sini.

Ramai juga yang ingin menyebarkan nilai-nilai yang baik, tapi tidak bermula dari sesuatu yang baik.

Ada yang pernah berkata kepada saya, ”Marhaini, tinggalkan ESQ. Kitapun boleh buat apa yang mereka buat...”.

Banyak lagi kata-katanya yang keluar, saya cuba mendengar dan memahami kata-katanya, namun semakin saya cuba, semakin saya melihat warna dirinya... he is on trial, bukan subjek yang diperkatakan. Dia mengakui keberkesanan ESQ namun memusuhi seseorang yang tidak pernah dia kenal, yang hanya dia kenal orangnya dari jauh.

Pada saya, ok untuk kita bersaing, apabila ada perkara baik yang boleh kita jadikan trend setter untuk training kita, majalah kita mahupun buku kita. Namun alangkah lebih baiknya, kalaupun tidak mampu untuk menuliskan atau menyatakan sedikit acknowledgement ataupun memberikan kredit, cukuplah untuk tidak membenci dan mengajak orang lain untuk turut memusuhi.

Sepertimana anjuran agama kita, berlumba-lumbalah dalam membuat kebaikan. Saya belajar, tidak luak apabila kita menghargai orang lain. Bukankah itu pengajaran yang kita dapat dari zakat yang kita keluarkan? Semakin kita memberi, semakin banyak yang akan kita terima. Semakin kita menghargai orang lain, semakin orang menghargai peribadi kita.

Saya pernah menjadi orang yang sangat kikir, takut untuk memberi, bimbang apa yang saya ada semakin berkurang. Banyak kebimbangan di hati... banyak fikiran yang salah yang berpotensi untuk terus menenggelamkan kita. Saya pernah terlupa bahawa Allah swt mempunyai gedung yang sangat luas dan kaya raya. Dia Maha Menggenggam segalanya.

Saya teringat ketika saya mengajar renang di UIA dahulu, terutamanya ketika mengajar students untuk melakukan back floating, ramai yang tenggelam kerana tiada keyakinan. Keupayaan untuk relaks, tidak banyak berfikir sama ada badan akan tenggelam atau float, akan membantu kita untuk floating dengan baik. Apabila kita cemas, kita akan tenggelam.

Justeru itu, jangan cemas dengan kehadiran orang lain. Kita belajar untuk bersinergi. Kita belajar untuk saling memberi.

Terlalu ramai ummah ini yang memerlukan bantuan kita. Kalaupun dikumpulkan kita semua, mungkin masih belum mampu untuk kita tangani semua isu yang ada... psycho social issues yang terlalu banyak dan semakin banyak. Namun, biarpun seperti melempar tapak sulaiman kembali ke laut, dari banyak tapak sulaiman yang terdampar di pantai, kita akan terus melakukannya...sekurang-kurangnya we make a difference to the life of that particular person. Allah bukan menilai kuantiti atas apa yang kita lakukan, berapa ramai orang yang telah kita bantu, namun Allah melihat langkah kita…. Yang kita niatkan keranaNya.

Kalau pernah hadir rasa yang salah di hati, sama-sama kita gosok ia, agar dengan cahayanya akan membawa kegelapan pergi. Kita sinari hidup dengan cahaya hidayah Allah swt.

Moga Allah terus membimbing kehidupan kita... lindungi kita semua dari tipuan syaitan yang direjam... Tiada cinta yang lain, kecuali cinta untuk ummah dan travelog penyempurnaan akhlak dan hati sendiri di sisi Allah swt.

Salam ukhuwwah fillah dari kami di ESQ Leadership Center.



Saturday, September 4, 2010

Mudahnya disalah ertikan kata-kata

Pagi ini, ketika ralit membaca akhbar, saya menerima kiriman sms dari Pak Sigit, Bali.... orang yang sama-sama mendapat didikan dari Almarhum KH Habib Adnan sebagaimana Pak Ary. Tulisnya di sms yang saya terima pagi ini (ada short form ejaan yang saya lengkapkan supaya kita faham dan sedikit ejaan saya sesuaikan dengan Bahasa Melayu);

”Assalamua’alaikum wrt wbh, Ibu Huda dan Puan Marhaini, saya mendapat informasi lagi tentang pernyataan dari Pak Amin Djamaluddin yang katanya merujuk pernyataan saya, namun terjadi lagi penyimpangan dari maksud pernyataan tersebut, iaitu tentang kata-kata Almarhum Pak (Habib) Adnan (Ulama yang membimbing Pak Ary dan Pak Sigit) yang menasihati Pak Ary agar tidak sering menjadi imam solat dan memimpin doa dalam acara-acara khusus, nasihat ini bukan kerana Pak Ary tidak pantas untuk melaksanakan hal tersebut, tetapi bertujuan agar Pak Ary atau ESQ tidak diidentifikasikan sebagai ”ulama” atau ormas Islam, tetapi sebagai figure pembangunan Sumber Daya Manusia (SDM) atau lembaga pengembangan SDM. Selain itu juga untuk menjaga agar tidak terjadi kultus individu terhadap Pak Ary, kerana umat kita sering kali mudah terjebak dalam kesalahan seperti ini. Demikian klarifikasi saya lagi, melihat dari beberapa kejadian, ada kemungkinan masih ada pernyataan-pernyataan saya ataupun orang lainnya tentang ESQ atau Pak Ary yang akan mengalami penyimpangan dari maksud yang seharusnya”.

Ini kali kedua beliau (Pak Sigit) terpaksa menjelaskan tentang maksud kata-katanya setelah percakapan dengan Bpk Amin Djamaluddin, bekas Pengurus Majelis Ulama Indonesia (MUI) yang hadir di Forum: Wajarkah ESQ diharamkan? Anjuran Yayasan Ta’lim di Masjid Wilayah Persekutuan baru-baru ini. Di forum tersebut Pak Amin menyampaikan tentang hal ini, tidak dijelaskan kenapa sehingga rata-rata peserta yang hadir menafsirkannya dalam erti yang lain. Di blog-blog disebarkan berita dalam penafsiran yang salah... alangkah suburnya fitnah dalam masyarakat kita hari ini! Lebih menyedihkan ada juga yang sanggup menaja dan memberi sokongan agar perkara-perkara yang tidak benar ini terus dikembang-suburkan.

Pak Sigit sebenarnya sudah 3 kali bercakap telefon dengan Pak Amin dan 2 kali berjumpa langsung dengan Pak Amin di pejabat MUI. Namun, tetap Pak Amin memberikan pengertian lain terhadap apa yang disampaikan. Membuat rumusan tersendiri yang jauh menyimpang dari maksud asal.

Saya teringat corak komunikasi kita yang saya belajar ketika kita di universiti, encoder dan decoder. Bagaimana maklumat yang kita terima dari orang lain akan kita tafsirkan mengikut cara kita. Cara kita berfikir dan tanggapan kita terhadap sesuatu akan mempengaruhi rumusan kita. Apa yang kita sampaikan pada orang lain telah menjadi rumusan dan pandangan kita sendiri... itulah betapa bahayanya hear say, sekadar dengar-dengar.

Pengalaman saya sendiri ketika memberi statement akhbar, banyak perkara yang berubah dari maksud asal. Beberapa kali saya menerima respons dari pembaca yang mempersoalkan kenapa saya membuat statement sedemikian dan mengambil langkah sebagaimana yang dilaporkan. Ada banyak scoop yang tidak diambil sebagaimana yang kita maksudkan, lalu terjadilah kekeliruan maksud kepada orang-orang yang menerima sekadar apa yang tercatat dan terzahir.

Namun, saya belajar bahawa orang yang bijaksana akan datang kepada kita dan memohon penjelasan apa yang kita maksudkan agar distortion of communication tidak berlaku. Banyak perpecahan, rumahtangga yang runtuh, pertelingkahan di tempat kerja, perbalahan keluarga, hubungan diplomatik yang terputus, hubungan keruh di kalangan yang berbeza fahaman, hanya kerana kata-kata yang disalahertikan, keadaan yang dilihat dari sudut pandang yang lain dan mungkin istilah yang berbeza dengan kita. Betapa ruginya ummah ini kiranya perkara ini terus berlaku.

Bermula dari kata-kata yang disalah tafsir atau diceritakan separuh-separuh, akan terjadi snowball effect, seperti juga terjadinya ripples ketika kita mencampakkan seketul batu di tasik yang tenang. Dari riak yang kecil, akan terjadi kocakan yang menjadi gelung-gelung yang semakin melebar. Begitu juga dalam situasi kita, mungkin ia bermula dari rasa tidak puas hati dalam diri orang-orang tertentu, sehingga apabila ia semakin membesar, seperti tidak ada lagi jalan kembali, there’s no turning back, walhal sekiranya kita tidak membawa agenda peribadi, menyayangi Allah swt lebih dari diri sendiri, lebih dari segala yang ada di dunia, kita akan akur dengan kesilapan dan kekhilafan diri.

Benar sekali, peperangan yang paling besar adalah perang melawan nafsu yang ada dalam diri kita sendiri. Ketika kita kecundang berperang dengan diri kita sendiri, perasaan yang gagal kita kawal, hati yang tidak tenang, jiwa yang kacau, rasa sombong yang gagal kita turunkan, kekecewaan terhadap sesuatu yang gagal kita raih; kita mungkin akan membuat kecundang lebih banyak perkara lain di luar diri kita... mungkin ada orang yang dinafikan hak untuk belajar kerana sikap kita terhadap sesuatu, ada orang yang terputus jalan mencari solusi masalah kehidupan kerana pandangan kita yang kita sebar-sebarkan. Walhal, permulaannya mungkin hanya satu titik kecil di dalam hati...sebuah rasa tidak puas hati yang kita sendiri mungkin sukar menafsirkannya.

Semoga nanti kita mati, orang hanya menyebut perkara yang baik-baik tentang kita. Seorang pejuang yang menjadi kebanggaan dan contoh akhlak generasi akan datang. Bukan dikenang sebagai seseorang yang telah mengkhianati agama, bangsa dan tanahairnya sendiri.

Dalam semangat Ramadhan, kemenangan Syawal dan kemerdekaan ini, kita lupakan perbezaan dan persengketaan ini, kita semarakkan cinta sesama kita.... transformasi bermula dari diri kita. Semoga Allah swt membimbing perjalanan bangsa ini agar terus dekat dengan-Nya.

Friday, September 3, 2010

Panel Syariah dan Aqidah ESQ

Sebelum petang semalam, saya tidak pernah cuba memahami apa yang dirasakan oleh para ahli Panel Syariah dan Aqidah ESQ terutamanya semenjak kes ESQ menjadi kontroversi. Apa yang ada dihati mereka, apa yang mereka lalui… sebelum ini saya yang terlalu banyak meminta dan mereka sering memberi tanpa lelah. Merekalah tempat saya mengadu hal, meminta bimbingan dan tempat mencurah rasa ketika semangat saya hilang dan fikiran saya buntu. Merekalah yang sering mengingatkan saya bahawa apabila pintu di bumi tertutup untuk kita, pintu dilangit terbuka luas untuk saya masuki... berpalinglah kepada Allah swt dan saya sering diingatkan bahawa Allah mendatangkan ujian sesuai dengan kesanggupan seorang hamba. Bersangka baiklah dengan setiap cabaran yang Allah datangkan.

Petang semalam saya mendapat panggilan telefon agar para panel Syariah dan Aqidah ESQ hadir ke satu sessi beberapa hari menjelang Syawal.

Satu persatu saya hubungi bagi menyampaikan pesan untuk datang. Satu persatu menumpahkan rasa... membuatkan saya setelah itu tenggelam dalam rasa saya sendiri, hati saya menangis... rupanya tidak mudah untuk mereka lalui ini semua. Apa yang berlaku adalah menyentuh their own circles of friends… terguris dengan sesuatu yang sangat dekat dengan mereka…

Mantan KP Jakim, Mantan Mufti dan Dekan Fakulti Pengajian Al Quran dan Hadis sanggup menjadi panel syariah dan aqidah kerana melihat ada sesuatu pada apa yang ESQ bawa. ESQ tidak sempurna, dengan apa yang mereka ada, mereka ingin membantu. Dan itulah yang mereka lakukan dengan sepenuh hati, dengan sepenuh semangat. Bukan untuk siapa-siapa dan terlalu hina kalau mereka lakukan ini untuk wang... kalaulah tujuannya wang, ESQ tak mungkin mampu membayar mereka setimpal dengan komitmen tinggi para panel serta meletakkan reputasi mereka sebagai sandaran.

Pelbagai tohmahan yang mereka terima, pelbagai tekanan namun yang paling menghiris rasa adalah seolah mereka bukan apa-apa, bukan siapa-siapa sehingga mereka seperti tidak tahu langsung menilai... ESQ terus ditohmah dan dilabelkan dengan sesat, Yahudi dan Kristian sedangkan kelima-lima mereka ada di ESQ. Secara rasmi, mereka adalah sebahagian dari ESQ, menasihati dan membimbing ESQ. Mereka juga telah diberikan mandat dan kepercayaan oleh JK Fatwa Kebangsaan untuk terus membimbing dan memantau, namun keputusan tersebut seperti langsung tiada erti dan tidak dihormati.

Dengan road show yang dijalankan oleh pihak-pihak tertentu untuk menjelaskan "kesesatan" ESQ, seminar-seminar terbuka yang terus dilakukan untuk membincangkan wajarkah ESQ terus berjalan, program-program radio, ceramah-ceramah di masjid hatta di program-program motivasi dan dokumen "kesesatan" ESQ terus di courier ke seluruh negara, kiriman email yang tak putus-putus; ESQ terus dikaji tanpa henti, terus dibincangkan di mahkamah terbuka, dilabel itu dan ini...

Rupanya hati panel turut terguris. Apakah mereka hanya seperti boneka, seperti langsung tidak bekerja, seperti langsung tak punya kredibiliti, seperti langsung tidak ada maknanya pembentukan panel syariah dan aqidah secara rasmi di ESQ... Benar mereka tiada lagi dalam institusi tersebut, tetapi apakah ilmu yang ada turut pergi dengan jawatan yang telah mereka lepaskan? Apakah mereka tidak lagi mampu menilai warna salah dan sesat setelah itu?

Lalu ketika semalam saya hubungi mereka untuk sessi yang satu ini, mereka nyatakan bahawa bukankah pengalaman mengajar kita?

Masih seperti semalam ia berlaku kata mereka... dipanggil ke dalam sessi perbincangan ”adik-beradik”, namun akhirnya apa yang berlaku adalah satu penghinaan, terasa seperti diperangkap dalam mesyuarat ”terhormat”, direndah-rendahkan dan tidak pernah membayangkan yang begini akhlak yang ada dikalangan cerdik pandai agama. Cukupkah terdidik dengan teori yang hebat dan tinggi tetapi akhlaknya menyedihkan?

Dipanggil lagi kali ini sedangkan luka lama belum sembuh cukup mengundang pelbagai rasa. Apa lagi yang tinggal kali ini... leher sudah dipancung, tiada apa lagi yang tinggal kata salah seorang dari panel... cukuplah kami hormati apa yang sudah diputuskan. Dan kami akan terus memberikan update sebagaimana yang telah diputuskan di JK Fatwa Kebangsaan pada 16 hb Jun 2010.

Mengimbas kembali perjalanan penubuhan panel syariah dan aqidah, ketika ESQ menawarkan untuk para ulamak ini menjadi panel bermula bulan Mac 2009, tidak mudah untuk mereka menerima. Berbulan masa di ambil untuk menerima tawaran. Namun tetap dikatakan ESQ tergesa-gesa membentuk panel syariah, walhal realitinya, sebelum kami tahu tentang pengharaman, kami telahpun berusaha membentuk panel syariah dan aqidah. Pembentukan ini adalah kerana terlalu banyak pandangan yang diberikan sehingga kami tidak pasti nasihat siapa yang harus kami ambil. Pada waktu tersebut ada orang kata ini ok dan ada pula yang kata ini tak ok... ada yang memberi cadangan dan terkilan kerana merasakan nasihat mereka tidak digunakan sedangkan pada waktu yang sama, ESQ sendiri didatangi oleh pelbagai orang dengan saranan yang berbeza. Kami keliru, mana satu yang betul dan harus kami ikut. Justeru, untuk mendapatkan pandangan rasmi dan nasihat yang berterusan, ESQ secara rasmi membentuk Panel Syariah dan Aqidah di ketuai oleh mantan Ketua Pengarah Jakim, Dato’ Mustafa Abdul Rahman.

Mereka merujuk kepada pihak berwajib, apakah wajar untuk mereka menerima tawaran ESQ. Sebelum tanggungjawab ini mereka galas, mereka telah dahulu menilai dan memerhati, solat istikharah... Saya pernah ditanya, pasti banyak yang ESQ bayar mereka, mereka di dakwa disediakan kereta mewah siap dengan pemandu.... terlalu jauh apa yang berlaku dengan apa yang dipercayai benar oleh orang-orang yang tidak tahu.

Walau dalam uzur, dalam kesihatan yang terbatas, terlalu banyak yang mereka berikan agar Training ESQ terus berjalan, agar masyarakat terus dihidangkan dengan Islamic Solutions di dalam training.

Teringat kata-kata SS Tan Sri Harussani, telah tiga perempat nyawanya dihabiskan untuk berdakwah namun hasilnya tidak sama dengan apa yang ESQ cuba laksanakan...dengan pendekatan berteknologi, modul yang tersusun, ESQ menembus kumpulan sasaran yang belum mampu ditembus selama ini. Mengangkat ayat-ayat Al Quran di skrin besar sehingga masuk ke dalam hati. Pun sekali lagi, itu tidak bermakna ESQ telah sempurna, masih banyak ruang untuk pembaikan, masih banyak sinergi dan lebih ramai pakar motivasi, para ulamak serta ustaz diperlukan agar lahir masyarakat yang negara kita idamkan.

Saya yakin ulamak dan umara’ perlu saling melengkapkan. Para CEO dan top executive perlu merujuk kepada para ulamak agar apa jua yang kita lakukan adalah seiring dengan kehendak agama kita. Terlalu mulia tugas para ulamak, mereka pewaris Nabi...

Dan untuk pertemuan yang satu ini, kami berharap ada jalan damai untuk manafaat ummah... bukan menambah parah dan jarak yang semakin jauh. Sukar juga untuk kembali percaya setelah beberapa kali terkena.

”Ya Allah, jika masih tersisa bimbang dan gurisan luka di hati-hati kami, sembuhkanlah. Bimbinglah langkah dan fikiran kami. Kembalikan kepercayaan di hati-hati kami untuk menjaga silaturrahim bagi manafaat ummah ini dan agar kami menjadi orang-orang yang bertakwa di sisi-Mu... Amin”