Sebelum petang semalam, saya tidak pernah cuba memahami apa yang dirasakan oleh para ahli Panel Syariah dan Aqidah ESQ terutamanya semenjak kes ESQ menjadi kontroversi. Apa yang ada dihati mereka, apa yang mereka lalui… sebelum ini saya yang terlalu banyak meminta dan mereka sering memberi tanpa lelah. Merekalah tempat saya mengadu hal, meminta bimbingan dan tempat mencurah rasa ketika semangat saya hilang dan fikiran saya buntu. Merekalah yang sering mengingatkan saya bahawa apabila pintu di bumi tertutup untuk kita, pintu dilangit terbuka luas untuk saya masuki... berpalinglah kepada Allah swt dan saya sering diingatkan bahawa Allah mendatangkan ujian sesuai dengan kesanggupan seorang hamba. Bersangka baiklah dengan setiap cabaran yang Allah datangkan.
Petang semalam saya mendapat panggilan telefon agar para panel Syariah dan Aqidah ESQ hadir ke satu sessi beberapa hari menjelang Syawal.
Satu persatu saya hubungi bagi menyampaikan pesan untuk datang. Satu persatu menumpahkan rasa... membuatkan saya setelah itu tenggelam dalam rasa saya sendiri, hati saya menangis... rupanya tidak mudah untuk mereka lalui ini semua. Apa yang berlaku adalah menyentuh their own circles of friends… terguris dengan sesuatu yang sangat dekat dengan mereka…
Mantan KP Jakim, Mantan Mufti dan Dekan Fakulti Pengajian Al Quran dan Hadis sanggup menjadi panel syariah dan aqidah kerana melihat ada sesuatu pada apa yang ESQ bawa. ESQ tidak sempurna, dengan apa yang mereka ada, mereka ingin membantu. Dan itulah yang mereka lakukan dengan sepenuh hati, dengan sepenuh semangat. Bukan untuk siapa-siapa dan terlalu hina kalau mereka lakukan ini untuk wang... kalaulah tujuannya wang, ESQ tak mungkin mampu membayar mereka setimpal dengan komitmen tinggi para panel serta meletakkan reputasi mereka sebagai sandaran.
Pelbagai tohmahan yang mereka terima, pelbagai tekanan namun yang paling menghiris rasa adalah seolah mereka bukan apa-apa, bukan siapa-siapa sehingga mereka seperti tidak tahu langsung menilai... ESQ terus ditohmah dan dilabelkan dengan sesat, Yahudi dan Kristian sedangkan kelima-lima mereka ada di ESQ. Secara rasmi, mereka adalah sebahagian dari ESQ, menasihati dan membimbing ESQ. Mereka juga telah diberikan mandat dan kepercayaan oleh JK Fatwa Kebangsaan untuk terus membimbing dan memantau, namun keputusan tersebut seperti langsung tiada erti dan tidak dihormati.
Dengan road show yang dijalankan oleh pihak-pihak tertentu untuk menjelaskan "kesesatan" ESQ, seminar-seminar terbuka yang terus dilakukan untuk membincangkan wajarkah ESQ terus berjalan, program-program radio, ceramah-ceramah di masjid hatta di program-program motivasi dan dokumen "kesesatan" ESQ terus di courier ke seluruh negara, kiriman email yang tak putus-putus; ESQ terus dikaji tanpa henti, terus dibincangkan di mahkamah terbuka, dilabel itu dan ini...
Rupanya hati panel turut terguris. Apakah mereka hanya seperti boneka, seperti langsung tidak bekerja, seperti langsung tak punya kredibiliti, seperti langsung tidak ada maknanya pembentukan panel syariah dan aqidah secara rasmi di ESQ... Benar mereka tiada lagi dalam institusi tersebut, tetapi apakah ilmu yang ada turut pergi dengan jawatan yang telah mereka lepaskan? Apakah mereka tidak lagi mampu menilai warna salah dan sesat setelah itu?
Lalu ketika semalam saya hubungi mereka untuk sessi yang satu ini, mereka nyatakan bahawa bukankah pengalaman mengajar kita?
Masih seperti semalam ia berlaku kata mereka... dipanggil ke dalam sessi perbincangan ”adik-beradik”, namun akhirnya apa yang berlaku adalah satu penghinaan, terasa seperti diperangkap dalam mesyuarat ”terhormat”, direndah-rendahkan dan tidak pernah membayangkan yang begini akhlak yang ada dikalangan cerdik pandai agama. Cukupkah terdidik dengan teori yang hebat dan tinggi tetapi akhlaknya menyedihkan?
Dipanggil lagi kali ini sedangkan luka lama belum sembuh cukup mengundang pelbagai rasa. Apa lagi yang tinggal kali ini... leher sudah dipancung, tiada apa lagi yang tinggal kata salah seorang dari panel... cukuplah kami hormati apa yang sudah diputuskan. Dan kami akan terus memberikan update sebagaimana yang telah diputuskan di JK Fatwa Kebangsaan pada 16 hb Jun 2010.
Mengimbas kembali perjalanan penubuhan panel syariah dan aqidah, ketika ESQ menawarkan untuk para ulamak ini menjadi panel bermula bulan Mac 2009, tidak mudah untuk mereka menerima. Berbulan masa di ambil untuk menerima tawaran. Namun tetap dikatakan ESQ tergesa-gesa membentuk panel syariah, walhal realitinya, sebelum kami tahu tentang pengharaman, kami telahpun berusaha membentuk panel syariah dan aqidah. Pembentukan ini adalah kerana terlalu banyak pandangan yang diberikan sehingga kami tidak pasti nasihat siapa yang harus kami ambil. Pada waktu tersebut ada orang kata ini ok dan ada pula yang kata ini tak ok... ada yang memberi cadangan dan terkilan kerana merasakan nasihat mereka tidak digunakan sedangkan pada waktu yang sama, ESQ sendiri didatangi oleh pelbagai orang dengan saranan yang berbeza. Kami keliru, mana satu yang betul dan harus kami ikut. Justeru, untuk mendapatkan pandangan rasmi dan nasihat yang berterusan, ESQ secara rasmi membentuk Panel Syariah dan Aqidah di ketuai oleh mantan Ketua Pengarah Jakim, Dato’ Mustafa Abdul Rahman.
Mereka merujuk kepada pihak berwajib, apakah wajar untuk mereka menerima tawaran ESQ. Sebelum tanggungjawab ini mereka galas, mereka telah dahulu menilai dan memerhati, solat istikharah... Saya pernah ditanya, pasti banyak yang ESQ bayar mereka, mereka di dakwa disediakan kereta mewah siap dengan pemandu.... terlalu jauh apa yang berlaku dengan apa yang dipercayai benar oleh orang-orang yang tidak tahu.
Walau dalam uzur, dalam kesihatan yang terbatas, terlalu banyak yang mereka berikan agar Training ESQ terus berjalan, agar masyarakat terus dihidangkan dengan Islamic Solutions di dalam training.
Teringat kata-kata SS Tan Sri Harussani, telah tiga perempat nyawanya dihabiskan untuk berdakwah namun hasilnya tidak sama dengan apa yang ESQ cuba laksanakan...dengan pendekatan berteknologi, modul yang tersusun, ESQ menembus kumpulan sasaran yang belum mampu ditembus selama ini. Mengangkat ayat-ayat Al Quran di skrin besar sehingga masuk ke dalam hati. Pun sekali lagi, itu tidak bermakna ESQ telah sempurna, masih banyak ruang untuk pembaikan, masih banyak sinergi dan lebih ramai pakar motivasi, para ulamak serta ustaz diperlukan agar lahir masyarakat yang negara kita idamkan.
Saya yakin ulamak dan umara’ perlu saling melengkapkan. Para CEO dan top executive perlu merujuk kepada para ulamak agar apa jua yang kita lakukan adalah seiring dengan kehendak agama kita. Terlalu mulia tugas para ulamak, mereka pewaris Nabi...
Dan untuk pertemuan yang satu ini, kami berharap ada jalan damai untuk manafaat ummah... bukan menambah parah dan jarak yang semakin jauh. Sukar juga untuk kembali percaya setelah beberapa kali terkena.
”Ya Allah, jika masih tersisa bimbang dan gurisan luka di hati-hati kami, sembuhkanlah. Bimbinglah langkah dan fikiran kami. Kembalikan kepercayaan di hati-hati kami untuk menjaga silaturrahim bagi manafaat ummah ini dan agar kami menjadi orang-orang yang bertakwa di sisi-Mu... Amin”
Salaam alaik.
ReplyDeleteSedih hati membaca tulisan akak.Saya baru sahaja pulang dari sc2.Alhamdulillah,terasa sangat rindu dengan keadaan yang tenang di sana.
Saya selalu berdoa kepada Allah
'Ya Allah sekiranya ESQ ini bukan berada di jalan lurusMu,maka Kau jauhkanlah aku darinya.Tetapi sekiranya ESQ ini berada di landasan yang benar,maka Kau dekatkanlah aku kepadaMu,kau dekatkan aku dengan ESQ,Kau bersihkanlah nama ESQ,Kau tolonglah Kami,Anta Maulana'
Dan hasilnya,saya rasa lebih dekat dengan Allah, saya rasa bahagia setiap kali berada di dalam program ESQ.Alhamdulillah.
Jangan pedulikan cacian itu semuanya.Biarlah Rasulullah tersenyum melihat kita yang sentiasa tenang walau dicemuh,dihina,dicaci,dimaki.Kita hanya mampu berdoa, dan teruskan perjuangan ini.Jangan risau kak,Allah bersama-sama kita,dan di belakang akak dan panel syariah,berdiri alumni2 yang tegar memperjuangkan ESQ ini.
'Innallahamaassobirin',Ameen
" Ya allah, berikanlah kami kekuatan untuk menghadapi segala ujianmu ini, kami tahu Ya allah, hanya engkau yang mengenggam hati hati hambamu..engkau yang menghendaki sesuatu pastinya akan terjadi..dan tidak kau jadikan nya dengan sia sia...Jadikanlah kami hambamu yang penuh rasa kesyukurun ,ketaqwaan ,kehambaan..Keikhlasan untuk kami berjumpa dengan mu Ya rabb..amin ya rabbul alamin
ReplyDelete