Pages

Friday, September 10, 2010

Titik temu

Sejak malam tadi, setelah selesai solat sunat tasbih, dalam doa yang dipanjatkan, imam mendoakan agar selamatkanlah ummah ini… tiba-tiba hati jadi sayu, akan adakah titik temu di antara kita?

Hari ini hari kemenangan umat Islam, alangkah indah hidup dalam kasih mengasihi, hormat menghormati, maaf memaafkan. Alangkah indah kiranya semangat Syawal ini kita bawa sepanjang tahun, kita bentuk akhlak kita dengan semangat ini. Kita menjadi orang yang pemaaf, yang lebih dahulu meminta maaf dari yang lain.

Saya teringat dalam satu majlis kahwin di Pulau Pinang, kami yang berbeza ’jalan’, makan durian bersama-sama... duduk semeja dan berkongsi tips dan cerita durian. Ada dari Kuala Lumpur dan ada dari Jakarta. Ada juga ibu bapa Pak Ary yang turut hadir di walimah tersebut. SS Tan Seri Harussani dan Puan Seri menjadi 'jambatan' kami.  Saat itu dalam hati, saya merasakan indahnya kebersamaan. Kalaulah durian boleh menjadi titik temunya... terlalu ideal apa yang saya fikirkan saat itu. Mengenangnya kembali hari ini, saya menginsafi bahawa Allahlah Yang Maha Menggenggam jiwa-jiwa manusia... belum ada pertemuan hati di antara kami, maka saya harus menerimanya seadanya.

Saya teringat program ’Mystery Shopper” yang sering saya lakukan dahulu ketika bekerja di syarikat sebelum saya ke ESQ, untuk menilai perkhidmatan yang kami berikan di cawangan-cawangan kami. Ia menjadi salah satu pendekatan untuk kami menilai suhu ataupun tahap perkhidmatan kami secara jujur. Walaupun adakalanya pahit untuk kami terima, namun kami tidak boleh live in denial dan menidakkan dapatan yang kami perolehi.

Justeru itu, ketika saya mengesan timbul isu-isu ini, saya menghantar mystery shopper ke beberapa tempat untuk ’mengambil bacaan suhu’ ini. Dari rakaman yang saya dengar, saya dapati telah terlalu dalam keyakinan bahawa ESQ itu salah di kalangan orang-orang tertentu. Ada banyak kata-kata yang keluar yang menunjukkan keyakinan yang begitu dalam. Ketika saya mendengarnya dengan teliti, berulangkali, saya cuba melihat perkara-perkara yang disebut dengan jujur agar saya tidak menafikan realiti, namun saya dapati banyak perkara yang diterima secara salah, dan banyak maklumat salah yang telah di masukkan ke dalam fikiran orang-orang tertentu.

Masing-masing merasakan apa yang dilakukan adalah sebagai sebuah perjuangan di sisi Allah swt; di pihak ESQ dan di pihak yang memerangi ESQ. Untuk yang memerangi, mereka merasakan ESQ dengan secara halus sedang merosakkan akidah umat Islam di negara ini. Di pihak ESQ pula inilah sumbangan untuk sebuah latihan kepimpinan, pembentukan karakter (akhlakul karimah) dengan merujuk kepada Al Quran dan As Sunnah. Pada ESQ, output yang ingin dicapai adalah cinta yang tinggi kepada Allah dan Rasulullah saw.  Lalu, di titik manakah akan ada sebuah pertemuan?

Kita membincangkan dua perkara yang berbeza, walau topiknya sama, ESQ. Tidak mungkin untuk terus berhujah, kerana tidak akan ada kesudahannya. Selagi hati-hati kita tidak bertemu dalam rasa mahabbah, jurang yang ada akan semakin melebar. Kita akan terus memandang dari sudut pandang yang berbeza. Kita akan terus berada dalam situasi kalah-kalah. Yang lebih parah, ummah ini dan imej Islam sendiri yang tercalar.

Dengan cabaran yang ada, saya melihat banyak laluan yang terbuka untuk ESQ menjadi lebih baik dari semalam. Sejak kali pertama saya hadiri ESQ pada tahun 2005, saya telah melihat beribu-ribu pembaikan yang dilakukan oleh Pengasas Model ESQ dan Pengasas Training ESQ. Banyak kemasan, banyak yang dimantapkan, banyak yang menjadi semakin tajam. Yang tidak pernah berubah hanyalah core kepada model tersebut iaitu Rukun Islam, Rukun Iman dan Ihsan.

Dan hari ini, ESQ beruntung mendapat bimbingan dari panel syariah dan akidah yang secara rasmi membimbing ESQ. Dengan cabaran yang dilalui juga ramai pakar HR dan mereka yang telah berpuluh-puluh tahun terlibat dalam HR dan training di syarikat-syarikat gergasi dengan berpuluh ribu staffs, datang menawarkan bantuan untuk membaikkan lagi latihan ini. Justeru itu, apa yang dilalui menjadi laluan untuk memperbaiki segala kekurangan.

Ketika saya hadir ke satu program untuk Muslim Trainers di Wangsa Melawati, saya melihat semangat yang berkobar-kobar di kalangan trainers muda. Bukan semua dari latar belakang agama. Namun saya melihat ada semangat yang tinggi untuk menyebarkan kebaikan dengan nilai-nilai murni yang ada dalam Islam dalam training yang masing-masing kendalikan. Ada usaha untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam latihan masing-masing. Mereka ada semangat, jangan matikan semangat itu.

Apakah mereka juga akan menerima nasib yang sama seperti ESQ, ketika mereka menceritakan apa yang Barat ada dan kemudian merumuskan di dalam Islam ada yang lebih baik dari itu? Sessi Ustaz Hasrizal, sharing yang diberikan kepada kami pada petang itu sungguh bermanafaat untuk menjadi panduan kepada semua trainers. Namun tidak cukup untuk hanya seorang Ustaz Hasrizal berkongsi, perlu ada garis panduan dari pihak berwajib. Perlu ada bimbingan. Jangan matikan semangat yang berputik. Biarlah ia berkembang mekar di dalam jagaan yang baik. Biarlah lahir golongan pemuda yang akan bangkit membimbing ummah ini.

Hari ini, hari yang sangat indah. Pagi Syawal di Kelantan yang basah dengan hujan renyai. Ada dua khutbah dalam satu hari. Saya mohon kita ikhlaskan doa, agar Allah selamatkan ummah ini. Pagi semalam juga ketika YBhg Dato Hj Nooh Hj Gadut menelefon, saya sempat mohon doakan keselamatan kita semua. Ketika bercakap dengan SS Tan Seri Harussani pagi semalam juga, saya merasa malu dengan jadual SS Tan Seri yang penuh untuk menyampaikan dakwahnya... tidak pernah berhenti walau apapun cabaran yang datang... mengenalnya, tidak lekang dari membicarakan soal ummah ini. Begitu juga dengan YBhg Tuan Guru Nik Aziz yang sejak kecil saya ikuti ceramah agama setiap Jumaat di Kelantan, ada satu persamaan di kalangan semua ulamak, mereka sangat kisah dengan ummah ini....

Mohon doa agar Allah bimbing kita di jalan yang lurus, agar Allah temukan kita semua dalam Tariqud Dakwah. Jangan pernah patah semangat untuk menyampaikan kebaikan, walaupun dengan satu ayat itu pesan yang sering saya terima daripada para ulamak yang dekat dengan kami serta Pak Ary sendiri.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf zahir dan batin kepada semua.  Moga Allah limpahkan RahmatNya yang banyak kepada kita semua.

No comments:

Post a Comment