Pages

Wednesday, September 8, 2010

Cabaran dan halangan

Saya tidak pernah berkesempatan untuk mengenali bapa mertua saya, Hj Mohd Tahir Daeng Mengati yang dipanggil Yek oleh anak-anak dan menantu. Saya hanya mengenali arwah Yek yang berasal dari Makassar melalui suami, mak dan adik beradik suami. Sepanjang hidupnya, Yek mewakafkan seluruh hidupnya untuk perjuangan; mendirikan beberapa buah sekolah agama, mengajar dan berniaga untuk menghidupi keluarga. Yek sempat menebas hutan menanam kelapa sawit agar sekolah Tahfiz yang Yek dirikan dan saat ini diteruskan oleh mak dapat dibiayai dari hasil kelapa sawit dan tidak terlalu bergantung harap pada sumber kewangan lain. Yek juga pernah menjadi Ketua Dewan Ulamak PAS Johor, sebagai wadah perjuangannya. Di akhir-akhir hidupnya, Yek banyak menterjemahkan buku-buku agama. Ada lebih 40 buah buku semuanya...

Petang semalam, dalam perjalanan panjang lebih 8 jam pulang kampung, dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, saya sempat membaca buku ”Jalan Dakwah” terjemahan Yek. Membaca ”Jalan Dakwah” terasa ia menterjemahkan banyak perkara dalam hidup saya, membuat saya lebih faham akan hakikat sebuah jalan yang saya pilih untuk saya lalui.

Berikut sedikit petikannya yang saya ingin kongsikan;

”Jalan dakwah adalah jalan yang mulia dan mahal. Dia itu adalah jalan yang dipenuhi dengan segala perkara yang dibenci oleh hawa nafsu dan bukanlah merupakan jalan yang ditaburi bunga-bunga yang mewangi.

Kita adalah manusia yang kadangkala benar dan kadangkala salah dan kadangkala kita berbeza pendapat. Ini merupakan perkara biasa bagi sesiapa yang bekerja dan berusaha di dalam sesuatu bidang. Tetapi, di bawah naungan cinta, kasih sayang dan persaudaraan kerana Allah dan dorongan ikhlas dan tajarrud (membulatkan diri kerana Allah), segala kesalahan boleh diperbetulkan, perbezaan pendapat boleh diperbaiki, penerangan boleh dibentangkan, dipertimbangkan dan dirumuskan serta dilaraskan. Hal ini mendorong tolong-menolong dan bahu-membahu di antara kita semua. Perbezaan pendapat di dalam sesuatu perkara tidak merbahaya selagi ditauti oleh rasa cinta dan kasih sayang.

Segala usaha yang membina perlu ditumpukan kerana generasi yang sedang tumbuh dan mekar dalam mendidik dan mempersiapkan mereka dengan sebaik-baiknya.

Kita sentiasalah tanpa henti meminta pertolongan kepada Allah Taala supaya Dia membawa kita,memimpin kita melalui jalan yang benar dan menunjuki kita jalan lurus kerana sesungguhnya Dia Maha Kuasa membuat apa yang dikehendakinya”.

Saya juga ingin memetik tentang menghukum orang lain di dalam buku tersebut;

”Tiap-tiap seorang dari kita akan disoal dihadapan Allah: ’Sudahkah kamu menyeru keluargamu, jiranmu, kenalanmu dan semua orang yang berhubung dengan kamu kepada Allah; untuk melaksanakan kitab Allah dan sunnah Rasulullah saw atau belum?’ Kamu tidak akan disoal: ’Sudahkah kamu menghukum ke atas si pulan atau belum? Kenapa kamu tidak menghukumnya?’ Kerana itu tidak termasuk di dalam taklif syariah. Yang menjadi tugas kamu dan diberi pahala jika kamu melaksanakannya adalah tugas dakwah, menyeru manusia kepada Allah dan kamu akan di azab jika kamu mencuaikannya.

Kamu tidak akan diseksa jika kamu tidak menghukum, tetapi sebaliknya jika kamu melakukannya (menghukum), kamu akan terdedah kepada azab yang sangat keras apabila kamu tersalah memberi hukuman.

Kita semua maklum tentang kehormatan seorang muslim bahawa tiap-tiap Muslim ke atas Muslim yang lainnya haram darahnya, hartanya dan kehormatannya ”.

Imam Bukhari r.a bahawa Abu Dzar mendengar Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

”Tidak boleh seorang lelaki menuduh lelaki yang lain sebagai fasik atau kufur kerana tuduhan itu akan kembali semula kepadanya jika yang dituduh itu tidak sedemikian”

Masih kita ingat kisah seorang tentera yang berperang di barisan Musyrikin dan mengucapkan dua kalimah syahadah, kemudian dia dibunuh oleh Usamah bin Zaid ra setelah dia mengucap dua kalimah syahadah kerana Usamah menyangkanya sebagai satu helah untuk mengelakkan dirinya dari dibunuh, tetapi Rasulullah saw sangat marah dan kesal terhadap tindakan Usamah lalu bersabda kepadanya: ”Kenapa engkau tidak membelah dadanya?”.

Perjalanan lalu yang telah menjadi lipatan sejarah ini terasa sangat bermakna pada saya hari ini. Ia datang sebagai peringatan dari Allah untuk saya... ia juga mengingatkan saya bahawa jalan Tauhid penuh dengan cabaran dan halangan. Kesabaran, ketahanan, penanggungan, pemberian adalah kemuncak kepada sikap positif. Apabila kita menjual diri kita kepada Allah, kita tidak akan pernah rugi. Jangan sesekali melakukan apa jua perkara kerana mengharapkan reda daripada manusia lain, siapapun mereka. Saya yakini itu.

Syawal lima belas tahun yang lalu, Yek pergi buat selama-lamanya. Dalam sakitnya, tidak dapat lelap di malam hari, Yek manafaatkan waktu untuk menterjemahkan banyak buku. Yek tidak pernah memikirkan kesakitannya namun Yek lebih memikirkan kesakitan ummah sehingga Yek seperti tidak punya waktu yang banyak untuk terus memberi.

Sehingga sekarang, mak masih rindu pada Yek... rindu pada didikan dan perjuangannya. Tanpa sedar, ada rasa sayu yang menyelinap di hati, hati saya bergetar... dan mata saya basah di subuh tadi. Kalaulah Yek ada di depan saya saat ini, apakah akan Yek katakan pada saya...

Al fatihah buat Yek, saya ingin lebih mengenalnya. Moga Allah swt jumpakan kami nanti, ketika saya pulang ke kampung yang lebih jauh perjalanannya dari apa yang saya tempuhi malam tadi. Kampung yang kekal abadi. Sungguh, saya rindu. Rindu pada kampung halaman saya yang sebenar. Dan saya ingin jumpa Yek, ingin bertukar cerita dengannya. Moga Allah izinkan nanti... Amin.

No comments:

Post a Comment