Pages

Friday, August 20, 2010

ESQ untuk Siapa?


Di sela training ESQ di hari kedua di Kuala Lumpur sebelum pewartaan pengharaman ESQ, seorang penari datang berjumpa dengan Panel Shariah dan Akidah ESQ yang merupakan mantan Mufti Kedah dan juga mantan Ketua Hakim Syariah Negeri Kedah, YBhg Dato’ Paduka Sheikh Hasbullah Abdul Halim bertanyakan bagaimana untuk solat sedangkan setiap kali sebelum performance,  dia sudah perlu siap bermekap…. Selama ini, dia tidak pernah solat, namun hadir ke training kali itu, hatinya terbuka untuk mula solat.  Bertemu dengan Dato’, memberinya kesempatan untuk menanyakan banyak hal-hal yang sebelumnya asing bagi dia. 

Ada banyak kisah sama, cerita serupa yang saban kali kami dengar dan saksikan di ESQ Training. 

Dan kehadiran para ulamak berada bersama-sama ketika break, makan tengahari, solat bersama, duduk memantau dan membimbing, membantu peserta untuk merujuk dan lebih dekat dengan para ulamak, bagi mendapatkan panduan dan bimbingan secara tidak formal…. Ia memecah benteng yang seolah-olah wujud sebelum ini,  mendekatkan peserta serta alumni ESQ dengan para ulamak.

Dan seringkali juga saya saksikan para top management, CEO duduk semeja bersama para ulamak berkongsi rasa dan meminta panduan bagaimana untuk jadi lebih baik di sisi Allah swt.  Kata orang, semakin tinggi kedudukan kita, semakin sunyi kehidupan kita… mereka memerlukan satu support group yang mantap… adanya para ulamak bersama-sama  memberi kekuatan, panduan untuk mentadbir diri dan syarikat dengan lebih baik.    

ESQ tidak bercerita tentang ibadah… ESQ bercerita tentang pembinaan karakter melalui metod ihsan, 6 rukun iman dan 5 rukun Islam berdasarkan Hadis Jibril yang telah turun lebih 1400 tahun yang lalu.  Seringkali kami saksikan, buah dari pendekatan ini adalah sebuah kesedaran diri bahawa mula tercetusnya keinginan untuk melakukan perubahan dari dalam diri.  Dengan izin Allah swt, semua itu berlaku.  ESQ tidak punya kepakaran untuk membimbing soal ibadah, maka perlu ada ustaz dan ulamak yang membantu untuk menyambut cetusan kesedaran ini.  Para trainer hanya mampu mengingatkan bahawa training sebenar bermula setelah ESQ Training 3 hari berakhir.  Peserta diingatkan untuk mencari bimbingan lanjut dari para ustaz…

Justeru itu, kami melihat banyak peranan ustaz dan ulamak membantu para alumni ESQ.  Saya sering diundang untuk ikut sama ke kelas-kelas tafsir yang alumni adakan di rumah-rumah mereka, atau kelas mengaji yang mula mereka adakan di syarikat-syarikat mereka, ceramah mingguan dan sebagainya.

Menganalisa composition of participants yang hadir ke ESQ Training, boleh dikatakan 70% adalah dari golongan korporat dan eksekutif yang ingin tahu tentang kepimpinan pengurusan dan pembinaan karakter melalui pendekatan Islam.  20% adalah pelajar, suri rumah atau orang perseorangan dan 10% adalah dari mereka dengan latarbelakang agama yang baik.

ESQ bercakap dalam bahasa pengurusan dan kepimpinan… bahasa sebahagian besar peserta yang hadir ke ESQ Training.  Bahasanya mungkin agak jauh dari sesetengah kita namun itulah bahasa untuk kita create rapport, untuk kita mengetuk pintu sebelum kita di terima masuk… Contohnya ketika kami bercakap tentang misi dan visi syarikat, kami menyebutkannya sebagai mission statement.  Kebanyakan syarikat mempunyai mission statement masing-masing namun agak jarang yang menyambungkannya dengan Allah swt.  Lalu kami menyampaikan bahawa misi tertinggi kehidupan adalah pengabdian kepada Allah swt.  Dua kalimah syahadah adalah esensi pekerjaan dan kehidupan.  ESQ training selama 3 hari sarat dengan ilmu kepimpinan yang merujuk kepada Al Quran dan As Sunnah sebagai rujukan utama.

Mungkin kepada sesetengah peserta, ESQ Training hanyalah sesuatu yang tidak signifikan kepadanya lantaran dia telah melalui sesuatu yang jauh lebih hebat, bermakna dan lebih menyentuh.  Kepada sebahagian orang pula, ESQ punya erti dan makna tertentu untuknya, titik perubahan dalam diri yang menukar cara dia melihat kehidupannya.  Pun begitu, ingin saya nyatakan bahawa ESQ bukanlah segala-galanya… ESQ Training adalah usaha untuk mencetus sedikit kesedaran, setelah itu peserta sering diingatkan untuk terus mencari ilmu.

Sekiranya training ini bukan untuk kita, mungkin ada orang lain yang memerlukannya.  Lalu jangan kita buang ia kerana ia tetap intellectual property yang boleh mendatangkan manafaat kepada yang lain.  ESQ Training mungkin bukan ‘bahasa’ kita, namun mungkin ia menjadi medan untuk tugas kita yang menanti.

Lebih indah untuk kita terus hidup dalam sinergi, untuk sebuah kepentingan yang lebih besar… kita bantu masyarakat yang hidup dalam kekeringan jiwa… yang jauh dari Allah swt.  Kita lupakan segala perbezaan, kita cari persamaan dan kita saling lengkap melengkapkan.  Mari kita berenang ke blue ocean, di mana kehidupannya lebih damai, bukan berada dalam red ocean, saling berbalah dan tikam menikam di antara satu sama lain.  Ada generasi yang harus kita bangunkan hari ini, ada tugas yang menanti kita…. Untuk kita saling berlumba-lumba berbuat kebaikan… kita tidak ada waktu yang banyak…

Dengan apa yang kita lakukan, moga menjadi jalan ke arah penyempurnaan jiwa untuk diri kita sendiri.  Moga Allah membimbing setiap langkah kita, menjadikan kita lebih dekat denganNya dalam setiap helaan nafas kita yang masih berbaki….

Kita lupakan perbezaan, kita cari titik persamaan.  Kerana Allah swt.

No comments:

Post a Comment