Pages

Thursday, August 12, 2010

Surat Terbuka untuk Ustaz Aizam Mas’od

Assalamualaikum wrt wbh
Ustaz Aizam yang saya hormati kerana Allah swt,

Telah lama saya ingin berbicara hati ke hati dengan Ustaz... namun seringkali tiada kekuatan untuk melakukannya ....

Entah kenapa... mungkin kerana kekuatan semangat persaudaraan Ramadhan kali ini, petang semalam saya menghubungi Ustaz setelah kali terakhir saya cuba menghubungi Ustaz dua tahun yang lalu; setelah Ustaz selesai menjalani training ESQ Angkatan 21 pada awal Ogos 2008. Yang saya dapatkan waktu itu hanya khabar daripada Ustaz Arif Samad yang sama-sama hadir ke training ESQ bersama Ustaz bahawa Ustaz sedang menyiapkan laporan.... masih jelas dalam ingatan kata-kata Ustaz Arif, ”tunggu dulu puan, Ustaz Aizam sedang menyiapkan laporan. Insyallah tiada masalah isi kandungan, hanya dari sudut pendekatan, Jakim ada pandangan...”. Kami menantikan maklumbalas sejak bulan Ogos 2008 untuk pembaikan dan akhirnya kemelut dan keresahan ini yang ESQ dapatkan....

Walauapapun, terima kasih kerana pick up panggilan telefon saya semalam. It was least expected, dan saya salah apabila beranggapan Ustaz tak mungkin ingin berbicara dengan saya. Terus-terang, saya lega dapat bercakap dengan Ustaz. Terus terang juga, setiap kali saya membaca komen-komen Ustaz di blog peribadi Ustaz, sharing dari pertanyaan di ceramah Ustaz di masjid-masjid yang menceritakan kehodohan dan kejelekan ESQ yang Ustaz dakwa serta khabar yang disampaikan oleh beberapa Jawatankuasa Fatwa beberapa negeri tentang presentation Ustaz tentang ESQ (walau JK Fatwa Kebangsaan telah meneliti dan membenarkan ESQ berjalan) yang mengandungi fakta-fakta lama yang tidak lagi ESQ gunakan.... perasaan saya bercampur baur.... kenapa sejauh ini Ustaz bertindak...tidak pernah bersemuka, tidak pernah menegur kami, tidak pernah menasihati kami, malah kalau benar ESQ itu salah akidah, kenapa sejak ustaz hadir ke training pada tahun 2008, tidak terus sahaja memanggil ESQ dan menyampaikan bahawa itu dan ini salah... agar tidaklah seramai sekarang alumni ESQ terus ’terseleweng dan rosak akidah’nya... termasuk 8 mufti dan timbalan mufti di lapan negeri. Ustaz punya ilmu yang tinggi, alangkah lebih mudah menegur dan menasihati daripada menghakimi dan menutup pintu dari menasihati kami. Semalam terkeluar kata-kata dari mulut ustaz, ’kalau nak nasihat tulislah secara official....’ Banyak sudah surat yang kami hantar kepada jabatan ustaz... tanpa reply apabila minta dinyatakan salahnya dimana. Apapun kami tetap update apa pembaikannya. Kerana Allah swt, kami pinggirkan segala rasa kerana kami telah melihat bagaimana kesan training ke atas pelbagai ahli masyarakat dan syarikat.

Selama dua tahun ini juga kami belajar erti kesabaran... satu persatu tuduhan mendatang dikata Yahudi, didakwa gerakan Kristian, dituduh gerakan terancang dan halus ke arah pemurtadan besar-besaran... dengan kuasa, jawatan, kemudahan dan kredibiliti yang ada pada yang telah menghukum dan melabel kami, tak mungkin untuk kami membela diri demi menegakkan kebenaran hatta menjelaskan apa yang kami maksudkan... kerana kami tiada apa. Bangkit mempertahankan dan membela diri akan dilihat sebagai melawan, senyap seolah-olah mengiyakan segala dakwaan kesesatan. Lalu apa...?

Kenapa saya berpaling kepada Ustaz? Kenapa tidak yang lain? Kerana ustazlah orang pertama yang datang menilai ESQ... pada pandangan saya juga, ustaz juga orangnya yang sangat overzealous, benar-benar berusaha untuk menyampaikan dan membentangkan kajian dan pandangan terhadap ESQ yang dakwaannya salah akidah. Pandangan ustaz sebagai orang yang pertama datang dan menilai ESQ berbeza dengan pandangan-pandangan dan keputusan badan rasmi negara dan tokoh-tokoh ulamak serta tokoh akademik di bawah:

1. Keputusan Rasmi JK Fatwa Kebangsaan dimana Kertas Kajian tentang ESQ telahpun dibentangkan sebanyak 7 kali dan dimuktamadkan pada 16 hb Jun 2010 bahawa ESQ boleh diteruskan cukup dengan pemantauan oleh Panel Syariah dan Akidah ESQ. Keputusan JK Fatwa Kebangsaan dibuat di dalam mesyuarat JK Fatwa Kebangsaan di mana Jakim adalah Sekretariatnya dan ustaz bekerja di bawah Jakim. Teringat kata-kata ustaz semalam, ”kalau Jakim nak ambil tindakan (ke atas Ustaz), ambillah...” . Pada saya ia seolah-olah ustaz begitu yakin tidak akan terkena apa-apa tindakan dan seolah-olah pergerakan dan tindakan ustaz dilindungi dan atas restu somebody in power.

Ahli-ahli di dalam JK Fatwa kebangsaan yang terdiri daripada Pengerusinya yang juga merupakan Pengarah International Fatwa (INFAD), 5 ahli yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja, seorang tokoh perundangan beragama Islam serta 14 orang mufti mempunyai wibawa tersendiri dari segi keilmuannya. Apakah mereka salah menilai dan tersilap membuat keputusan?

2. Pandangan Ustaz yang hadir pada ESQ Training Angkatan 21 untuk mengharamkan ESQ difahamkan berbeza dengan pandangan Penilai kedua yang dihantar secara rahsia oleh pihak PKA pada ESQ Training Angkatan 22. Penilai kedua yang dihantar difahamkan memberikan laporan dan cadangan berbeza dan bertentangan dengan Ustaz. Ada beberapa cadangan dari Penilai kedua yang serta merta kami ikuti pada ESQ Training berikutnya, iaitu Angkatan 23 contoh: Slide Sajak Salam Perdamaian dibuang kerana dikatakan sajak yang boleh mengelirukan.

3. Terdapat 6 orang Mufti dan 2 orang Timbalan Mufti yang telah hadir ke ESQ Training dan tidak mendapati wujud sebarang penyelewengan. Ini termasuk YBSS Tan Seri Harussani, Mufti Perak dan YBSS Dato’ Hassan Ahmad. YBSS Tan Seri turut merupakan Pengerusi Teks Al Quran dan buku di bawah KDN serta pernah mengharamkan lebih 83 ajaran sesat di Perak. Apakah ada kemungkinan kesemua mufti dan timbalan mufti ini tidak secermat ustaz dalam menilai?

4. ESQ telah melantik 5 orang Panel Shariah dan Akidah yang terdiri daripada mantan Ketua Pengarah Jakim, 3 orang mantan Mufti dan seorang Dekan, Fakulti Pengajian Al Quran dan As-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia. Mereka semua telah hadir ke ESQ Training sebagai peserta training dan telah selesai menyemak buku ESQ. Mereka juga tidak mendapati sebarang salah akidah atau kesalahan pokok kecuali dari segi istilah, pemahaman diperjelaskan agar tidak menimbulkan kekeliruan. Perlu juga dimaklumkan mereka bukan hadir satu training, malah berpuluh kali dan dari peringkat asas training sehingga ke peringkat Self Controlling & Strategic Collaboration.

5. Tokoh-tokoh akademik yang datang secara sukarela dari Jabatan Usuluddin UIA, UM, Pusat Islam USM, Ulamak dari UMNO dan Ulamak PAS tidak pernah memberikan maklumbalas penyelewengan akidah sebagaimana ustaz.

6. Di Indonesia, ESQ Training yang telah dilaksanakan sejak 10 tahun lalu telah dihadiri oleh pelbagai organisasi Islam termasuk Nahdatul Ulama yang telah ditubuhkan lebih 100 tahun. Ia juga telah dinilai dan disemak oleh Departmen Agama di Indonesia dan tiada penyelewengan Akidah. Ulamak-ulamak seperti Bpk Din Shamsuddin, Bpk KH Amidhan Shaberah, Bpk KH Hasyim Muzadi, Bpk Didin Hafifudhin dan lain-lain turut menilai ESQ Training dan mereka menyokong pelaksanaannya. Selain daripada dukungan ulamak, ESQ telah disertai 7 menteri dan 150 orang dari Dewan Perwakilan Rakyat (DPR). Apakah kesemua mereka ini langsung tidak dapat mengesan kesalahan akidah serta bahaya ESQ sekiranya ada?

Saya ingin ulang lagi permintaan saya seperti di telefon semalam.... agar kita duduk dan berbincang. Saya sedih Ustaz menolak permintaan untuk duduk dan berbincang untuk kepentingan ummah.... semalam berkali-kali saya minta kepada ustaz, namun berat sekali hukuman ustaz; tidak ada gunanya duduk berbincang kerana masalahnya ada pada Pengasas ESQ, Ary Ginanjar Agustian, kata ustaz.

Sejauhmana hati seorang manusia dapat Ustaz baca.... Izinkan saya dalam kecetekan ilmu saya berkongsi sebuah kisah yang pernah diceritakan seorang guru agama. Kisah seorang Sahabat, Usamah bin Zaid yang telah membunuh seorang musuh di dalam perang. Musuh tetap dibunuh walaupun ia telahpun melafazkan syahadah. Rasulullah saw marah sehingga keluar urat di dahi Baginda.... apakah kita lebih layak untuk menghukum melebihi Rasulullah saw.... ?

Mampukah kita scan hati manusia, bahawa dia tidak ikhlas berubah, bahawa dia terpengaruh dengan perennial philosophy sedangkan nyatanya orang yang dituduh sebegitu telah bersumpah menafikan dengan nama Allah swt dan melafazkan syahadahnya. Siapa kita sehingga mempunyai hak yang sebegitu tinggi untuk melabelkan orang lain... alangkan Rasulullah saw sendiri tidak mencontohkan begitu pada kita. Ustaz, kita umat yang satu, mari kita buang benteng di antara kita... , buang perbezaan dan seterusnya mencari jalan untuk bekerjasama dan lengkap-melengkapi demi kepentingan ummah. Bukankah itu lebih baik daripada perpecahan yang berlaku lantaran kekeliruan pendirian antara ustaz-ustaz, mufti-mufti berkenaan isu fatwa ini?

Ingin sekali kita berdamai dalam semangat ukhuwwah fillah. Alangkah lebih ringan hidup dalam baik sangka, menyempurnakan kekurangan, membantu memperbaiki kesilapan sesama kita atas ketinggian cinta kepada Allah swt dan Rasulullah saw,melebihi segala cinta kita terhadap diri kita sendiri....

Saat ini saya hanya mampu berdoa agar ada satu titik pertemuan agar kita dapat duduk dan berbincang. Kita jernihkan kekeruhan, kita tamatkan segala prasangka ini, kita hakiskan persepsi di antara kita, kita umat Rasulullah SAW, pertelingkahan ini merugikan dan mengelirukan umat.

Masih terngiang-ngiang pesanan Pak Habib Adnan, guru Bpk Ary Ginanjar, seorang hafiz Quran dan merupakan Majlis Ulama Indonesia (MUI) Bali, yang saya jumpa di Bali dalam bulan April 2009 beberapa bulan sebelum kematiannya... ”Kita cari sebuah persamaan. Ini saatnya untuk Malaysia dan Indonesia bersatu menghadapi dunia...”. Saya yakin ini harapan ramai orang dan inilah juga harapan para pemimpin kita.

Ustaz Aizam saudara seIslam saya,

Saya bukan saingan Ustaz, yang tinggi ilmu agamanya. Saya hanya lulusan UIA, dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dan kemudiannya menyambung pelajaran di bidang Kaunseling di UIA. Sepertimana Pak Ary sendiri yang sering mengatakan bahawa, ilmu Allah ini luas, banyak perkara yang kita tidak tahu dan kita ingin terus belajar dan memperbaiki diri. This is an unending process, the quest for knowledge. Kita bukan bercakap sekadar untuk basa basi... kita benar-benar ingin terus belajar dari semua orang, akan segala ilmu yang baik... dan itu tujuan asal bila kami approach Jabatan ustaz.

Sesuatu yang tak pernah saya jangkakan akan begini akhirnya atas sebuah permintaan yang benar-benar jujur untuk diberi bimbingan oleh institusi berwajib, yang misinya saya yakin untuk membimbing agar kita sebagai rakyat Malaysia sentiasa terjaga dari sudut akidah dan kejernihan Islamnya.

Ada sesuatu yang menggerakkan saya untuk memohon bimbingan dan nasihat dari Jakim (sebagai badan yang bertanggungjawab) ke atas perjalanan ESQ di Malaysia; iaitu makluman dari salah seorang alumni bahawa filem ”The Message” dan sedutannya tidak boleh digunakan di Malaysia. Saya diberikan kertas pewartaannya sekitar bulan Jun 2008. Ia seperti wake up call pada saya yang saat itu baru bekerja di ESQ.

Sebagai orang yang dilatih dalam pengurusan dan pentadbiran, saya bertanggungjawab memastikan apa jua di sudut operasi ESQ adalah mematuhi kehendak undang-undang di negara kita, termasuk membayar semua royalti muzik dan lagu yang digunakan kepada MACP, menjelaskan cukai, zakat kepada Pusat Pungutan Zakat Negeri Selangor, menjalankan program kualiti ke arah Shariah Compliance dan paling penting atas semua itu, buku dan training ESQ mematuhi kehendak-kehendak di negara ini.

Contohnya sebelum ini ayat-ayat Al Quran yang digunakan merujuk kepada terjemahan Quran di Indonesia, sedangkan di Malaysia ada Terjemahan Pimpinan Rahman yang diiktiraf oleh Jakim. Setelah penubuhan Panel Syariah dan Akidah ESQ pada bulan September 2009, kami lebih jelas dan banyak dibimbing. Rupanya banyak perkara yang sebelum ini kami tidak fahami, mula kami fahami sedikit demi sedikit. Panel Shariah sendiri berserta pihak pengurusan ESQ kerap mendapatkan penjelasan atas apa yang ingin disampaikan di dalam buku dan training dari Pengasas ESQ. Sehingga saat ini Bpk Ary Ginanjar terbuka menerima pembaikan-pembaikan sepertimana saranan panel.

Menyorot kembali pertemuan saya di tengahari bulan Julai 2008, saya datang dengan harapan, dengan sebuah kepercayaan yang kami akan dibantu. Pertemuan dengan pengurusan tertinggi di Jakim, menyejukkan hati... Jakim akan bantu untuk melihat dan menasihati, itu janjinya.

ESQ cuba meneroka ke wilayah HR dan Leadership yang selama ini dikuasai oleh Teori-Teori Barat. Hasil training, program-program CSR dan sumbangan training yang dijalankan oleh Bpk Ary Ginanjar telah menampakkan hasil di bidang pembinaan karakter sehingga melayakkan beliau untuk menerima Dr Honoris Causa dari universiti tempatan serta Anugerah Integriti dari Polis Indonesia. Beliau seorang pakar yang diiktiraf di Indonesia dan telah berpengalaman melatih hampir sejuta orang di bidang pembinaan karakter dengan merujuk kepada Al Quran dan As Sunnah. Alangkah lebih baik dengan ilmunya ini kita sinergikan dengan kekuatan dukungan dari bimbingan para ulamak. Saya kutip sedikit petikan dibuku terjemahan arwah ayahanda Ustaz Hj Mohd Tahir Daeng Mengati, ”Langkah Bermula”, mukasurat 196-197, dalam semangat mencontohi Rasulullah saw;

Ustaz al- Maududi pula menyeru kamu supaya merenung sejarah Nabi Muhammad S.A.W, ”Lihatlah Baginda pada mulanya berdiri keseorangan menghadapi dunia seluruhnya. Lihatlah Baginda menolak pemikiran-pemikiran yang salah dan jalan-jalan yang bengkok yang menguasai dunia seluruhnya. Baginda mengemukakan satu akidah yang datang dari Allah... Sesungguhnya menegakkan kepimpinan yang soleh di bumi Allah ini merupakan suatu tugas yang sangat penting dan mustahak di dalam sistem Islam. Setiap orang yang beriman dengan Allah dan Rasulnya dan mengambil ’deen’ yang mulia ini tidak akan selesai kerjanya kecuali dengan mengorbankan seluruh tenaganya dengan segenap kemampuannya untuk membentuk hidupnya menurut acuan Islam. Sekiranya tujuan dan maksud tertinggi dan mulia itu tak mungkin dapat direalisasikan kecuali dengan usaha secara berjemaah, maka tidak boleh tidak, mesti dibentuk satu jemaah yang soleh dan beriman di mukabumi ini...”

Ustaz Aizam, marilah kita bersinergi untuk sebuah kepentingan yang lebih besar... ummah. Masyarakat semakin rosak sedangkan kita terus bertelagah.... cukuplah kita habiskan waktu di bilik-bilik seminar dan dewan-dewan muktamar, berhujah mencari salah sesama kita. Sedangkan kesalahan itu amat mudah untuk dibaiki dengan nasihat dan rasa mahabbah sesama kita.

Kalau Ary Ginanjar main issue nya, kamilah jambatannya di sini. He is no more than an ordinary man, yang masih banyak kekurangan tapi punya sebuah cita-cita agar Al Quran dan As Sunnah menjadi rujukan di dalam membentuk karakter manusia. Dia hanya manusia kecil yang hanya ada sedikit keberanian untuk membawa ultimate solution ini ke wilayah korporat dan pengurusan zaman ini yang sudah terbiasa dengan bahasa Stephen Covey, Dale Carnegie, Peter Drucker dan lain-lain.

Ustaz Aizam sahabat seagama, kalaupun tiada kesempatan untuk membimbing, izinkan ulamak lain yang sedia membimbing, menegur dan menunjuk jalan kepada kami dan izinkan kami agar di beri sedikit laluan untuk sama-sama berlumba berbuat kebaikan dan mengabdikan diri kepada Allah swt dengan cara yang kami mampu.

Mohon maaf zahir dan batin atas kata-kata yang salah dan luahan terdalam dari hati ini. Saya menulis agar kita padamkan api pertelingkahan ini. Pun begitu, saya hanya mampu menyerahkan segala-galanya kepada Allah swt.... semoga Allah swt ikat hati-hati kita semua dijalanNya...

Wassalam, terima kasih dan selamat menyambut Ramadhan.





"...Maka janganlah mengatakan bahawa dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa."

(Maksud Surah An-Najm:32)

16 comments:

  1. Puan M,
    Could not have put in a better words than this.
    Well done. Never give up.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum,

    Apa dah jadi dengan JAKIM yang mempunyai pegawai yang tidak berintegriti?

    Sudahlah masalah persijilan Halal pun bermasalah ditambah dengan masalah ini yang lebih kritikal...

    Mohon Ustaz Aizam memberikan penjelasan secara terbuka kepada masyarakat...

    ReplyDelete
  3. Sungguh sayu dan sedih diri ini apabila membaca luahan hati seorang wanita bernama Marhaini Yusoff. Sungguh tabah dan cekalnya diri puan. Saya dapat rasakan betapa sukarnya perjalanan kehidupan yang sedang puan jalani hanya disebabkan oleh keangkuhan dan keegoan pihak berkuasa. Inilah yang disebut2 sebagai manusia akhir zaman apabila perkara yang benar disalahkan dan perkara yang terang-terang memudaratkan dipandang sambil lewa oleh pihak berkuasa.
    Sesungguhnya saya sangat hairan kenapa beria2 sangat pihak Jakim mementang ESQ walhal hampir keseluruhan peserta yang telah menghadiri training itu bersetuju akan keberkesanannya.
    Apakah motif sebenar yang cuba disampaikan oleh Pihak Jakim?
    Buat pihak Jakim, tolonglah selesaikan isu ini dengan segera. Janganlah mengelirukan masyarakat hanya untuk kepentingan peribadi sesetengah pihak...

    p/s : Seharusnya pihak berkuasa agama lebih memfokuskan kepada isu-isu yang lebih serious seperti isu moral remaja dan lebih teruk sekali isu pembuangan anak yang saban hari dipaparkan di media massa. Ini lebih penting!!

    ~luahan hati seorang alumni angkatan 41~

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum Kak Marhaini....

    Subhanallah.... Saya kagum dengan keberanian dan kesungguhan Kak Marhaini memperjuangkan Ihsan, Iman dan Islam ini.... menzahirkan apa yang dipelajari... Ilmu itu akan menjadi fitnah tanpa amal...kata2 yang diulangi Aagym isnin lepas masih terngiang-ngiang lagi.. mengingatkan diri ini...
    Semoga Allah sentiasa menuntun hati kita ini dan memberi kekuatan untuk memperjuangkan Ihsan, Iman dan Islam...di mana jua, walau dalam apa jua keadaan...

    Alumni Angkatan 10

    ReplyDelete
  5. "marilah kita bersinergi untuk sebuah kepentingan yang lebih besar... ummah. Masyarakat semakin rosak sedangkan kita terus bertelagah.... cukuplah kita habiskan waktu di bilik-bilik seminar dan dewan-dewan muktamar, berhujah mencari salah sesama kita. Sedangkan kesalahan itu amat mudah untuk dibaiki dengan nasihat dan rasa mahabbah sesama kita."

    -ayat yang boleh kita renungkan bersama demi AgamaNYA
    -moga pn marhaini tabah & sabar dalam dugaan ini, alumni bersamamu..

    angkatan kL39

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum wrt wbt.

    Puan, saya ada menulis tentang isu ESQ ini dan menyiarkan link surat terbuka Puan di sini http://ustazmoden.wordpress.com/2010/08/13/surat-terbuka-dari-esq-kepada-pegawai-jakim-aizam-masod-dari-blog-pengerusi-esq-malaysia/

    Dalam hal ini saya ingin menyokong pandangan para Mufti yang bersetuju ESQ diteruskan dengan syarat pemantauan alim ulama..

    Pandangan peribadi dan minoriti tidak perlu kita pegang kerna ia tidak menjadi kesepakatan Ulama.

    Namun kita perlu hormati atas dasar ilmu/akademik.

    Harap ESQ juga bersabar dalam menghadapi mehnah ini.

    Namun jika terbukti ESQ ingin menyebarkan Islam Liberal maka saya tidak teragak-agak menentang sekeras-kerasnya ESQ tanpa kompromi sedikitpun.

    Siasatan dan kajian dari semasa ke semasa akan dibuat oleh Panel Syariah ESQ dan saya harap ia mencukupi untuk memberi keyakinan kepada semua rakyat dan umat Islam di malaysia.

    Apa yang baik perlu dipertahankan pada pandangan saya termasuk program ESQ ini.

    Saya sendiri pernah mengikuti preview program ini dan berharap dapat menjalani kursus ini sepenuhnya satu hari nanti.

    Kirim salam pada Dr Mahani !

    ReplyDelete
  7. Apa yang saya perhatikan kemelut yang berlaku mengenai isu ESQ ini banyak disokong oleh ustaz2 yang hanya mendatangkan dalil atas angin semata2 antaranya ustaz moden dan al-ghahari..kedua2 ustaz ini mengulas isu ESQ tanpa mempunyai ilmu yang mendalam..jika diteliti nilai ilmu mereka ini hanya layak mengajar pelajar2 pra sekolah sahaja..

    ReplyDelete
  8. terima kasih atas pujian naufal. saya tidak terasa hati.

    sebab saya bawakan pendapat ALIM ULAMA MUFTI MUFTI yang tinggi ilmu melebihi Aizam Masod atau Zamihan Al Ghari.

    jangan perasan diri pandai...itu sifat syaitan yang direjam dan dilaknat Tuhan.

    ReplyDelete
  9. Di sini kita dah boleh nilai akhlak dan perangai ustaz yang xberapa moden ni..dia kata dia x terasa hati, tapi akhir ayat dia " jangan perasan diri pandai ..itu sifat syaitan yang direjam dan dilaknat Tuhan..Ini bukan masalah lebih tinggi ilmu lagi seperti mufti2..ia lebih kepada methodologi penyelidikan..kalau kita dapat bahan2 bukti tu yang lebih penting..kalau ilmu tinggi tapi kalau xde bahan buktipun kita xboleh buat apa-apa...di sini kita nak nampak kedangkalan dan kecetekan ilmu ustaz xberapa moden ni..sama mcm tok garu dia al-gahari...

    ReplyDelete
  10. Salam..
    x perlulah nak gaduh2.. takkan ahli ESQ nak kecoh2 hal remeh mcm ni.. sepatutnya mereka lebih well motivated dari org2 lain.. so, bawak2 bertenang... jika benar, Allah akan tunjukkan jalan yang benar.. Biar masa yang tentukan. Hanya Allah mengetahui apa yang terbaik utk umatnya.

    ReplyDelete
  11. salam
    ye saya stuju. tak perlu la nak gaduh2. masing2 ada silap dan salah,masing2 punya kekurangan.kan.

    en kasau: maafkan saya. tak semestinya "ahli esq" : kelihatan org yg membidas org yg bukan dr esq itu adalah org yg pro atau menyokong esq. mungkin seseorang itu dari individual yg mempunyai pegangan dan prinsip mrk sndiri. mintak jauh dari sgala mcm persepsi.

    apapun , saye stuju dgn encik kasau. semoga Allah menunjuk jalan, apa yg haq dan apa yg batil, insya allah.

    ukhwah fillah.

    ReplyDelete
  12. Salam,

    Saya setuju dengan naufal.

    Ini bukan pertama kali 'penyokong' esq
    'cakap tak serupa bikin'.

    Tapi saya respek dengan puan punya blog
    ini kerana jelas terpancar bait-bait
    'sentuhan kalbu' menerusi artikel ini.

    Tidak hairanlah ramai yang 'cair' hatinya
    'basah' matanya tatkala diulit kalimah-
    kalimah ala rumi dan juli sebegini.

    Bicara aqidah bersaing dengan kalimah jiwa,
    ramai termakan dan terbuai jiwanya, lupa akidahnya...

    Aman!!

    ReplyDelete
  13. Salam,

    Saya agak baru dalam kemelut ESQ dan JAKIM.Umum telah mengetahui memang agak sukar untuk mendapatkan khidmat nasihat dari jabatan2 yg 'sebegini' kerana lazimnya hanya pandai menghentam tetapi tidak menunjuk ajar.

    Apa pun saya akan cuba mengkaji dengan sedikit ilmu yang ada.

    Kepada K.Anniey yang saya sejak kenali zaman belajar...Saya mendoakan agar akak terus tabah.

    salam sayang dari kami sekeluarga.

    ReplyDelete
  14. Salam, terima kasih atas semua pandangan... saya hanya bercakap dari hati saya dan atas apa yang saya tempuhi dan lalui. Seadanya. Tidak lebih dan tidak kurang. Saya hanya berharap agar Allah swt membimbing setiap kata-kata kita, langkah kita... Maaf zahir batin

    ReplyDelete
  15. Marhaini sahabat se Islam ku,

    Remember, diamond is just a piece of coal which cooked well under high temperature & high pressure in a looong loong time! Dear Marhaini, PATIENT..PATIENT....PATIENT...I'm very certain God is with you insyaallah.Unless you expect to crystallize in express way and becoming garam!

    ReplyDelete
  16. عَنْ تَمِيْمٍ الدَّارِي رضي الله عنه أَنَّ النَّبِيَّ صلى اله عليه وسلم قَالَ: الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ، قُلْنَا لِمَنْ يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ قَالَ للهِ وَ لِكِتَابِهِ وَ لِرَسُوْلِهِ وَ لأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِيْنَ وَ عَامَّتِهِمْ (رواه البخاري و مسلم و الترمذي)

    Dari Tamim ad-Dari ra. bahwasannya Nabi saw bersabda: Agama itu adalah nasehat. Kita (para sahabat) bertanya, “Bagi siapa wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Bagi Allah, bagi kitab-Nya, bagi rasul-Nya, dan bagi para pemimpin kaum muslimin dan umat Islam”
    . Nasihat kepada umat Islam pada umumnya. Bagi pemimpin, ia harus berbuat adil dan amanah, memikirkan kesejahteraan ummat Islam serta berusaha selalu membimbing mereka ke arah jalan yang benar, jalan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Sedangkan bagi pribadi mukmin, hendaklah memelihara ukhuwah, sebab pada hakekatnya mereka bersaudara, sebagaimana firman Allah swt.

    Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara maka perbaikilah persaudaraan antara kalian (al-Hujurat:10)

    Selain itu henaklah saling mengasihi, dan menyayangi, seperti sabda Rasul saw.

    مَثَلُ الْمُؤْمِنِيْنَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ كَمَثَلِ الْجَسَدِ الْوَاحِدِ اِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ اْلأَعْضَاءِ بِالْحُمَى وَالسَّهَرِ

    “Perumpamaan orang-orang mukmin di dalam saling menyayangi, saling mengasihi seperti satu tubuh apabila ada satu anggota tubuh yang sakit maka seluruh anggota akan ikut merasakan dengan panas dan tidak bisa tidur.

    Kemudian juga harus selalu memelihara sikap tolong menolong dalam kebaikan, mencegah terjadinya kemungkaran, dan mengajak dalam kebaikan
    Dan tolong menolonglah kalian dalamkebaikan dan jangan tolong menolong dalam dowa dan permusuhan.

    ReplyDelete