Pages

Saturday, August 28, 2010

Forum “ Wajarkah ESQ diharamkan” anjuran Yayasan Taa’lim

(Saya mula menulis topik ini, semalam 17 Ramadhan, namun baru hari ini sempat menghabiskan).

Hari ini 17 Ramadhan, kita kenang hari ini dengan hati yang tunduk dan jiwa yang sedar. Hari ini hari peperangan Badar, hari Rasulullah saw dan para sahabat merelakan tubuh mereka dilukai, berperang dengan sepenuh jiwa, untuk menegakkan Islam... mereka rela mati agar iman boleh dinikmati di dalam dada kita, umatnya.

Dengan iman ini, kita diajar untuk saling mengasihi. Kita dididik untuk mencontohi akhlak Rasulullah saw...

Imam al-Ghazali pernah berwasiat bagi menjaga kemurnian akhlak, janganlah kita suka berbahas dengan seseorang mengenai sesuatu perkara seboleh yang mungkin kerana ia lebih banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan. Ia adalah punca akhlak buruk seperti riya’, hasad dengki, bermusuhan, bangga diri dan sebagainya. Jika terpaksa juga berbahas, maka kita mesti mempunyai 2 tanda pada niat dalam hati kita, iaitu:

a. Kita mengakui sesuatu kebenaran tidak kira ia berada di sebelah kita atau pihak lain

b. Kita lebih suka mencari kelemahan sendiri daripada mencari kelemahan orang lain

Justeru itu, setelah dipanggil berjumpa pihak berwajib, dan setelah kami menganjurkan forum terbuka ”Tanyakan langsung pada Pengasas ESQ” yang telah dihadiri oleh lebih 700 orang di Flamingo Hotel bulan sudah, kami diminta untuk tidak lagi menganjurkan forum terbuka. Kami sendiri merasakan cukuplah sekali membincangkan hal ini secara terbuka.

Sebagaimana kami menghormati keputusan JK Muzakarah Fatwa Kebangsaan, kami juga menghormati keputusan warta YBSS Mufti Wilayah Persekutuan. Fatwa Kebangsaan telah membenarkan ESQ terus berjalan dengan bantuan Panel Shariah dan Akidah kami. YBSS Mufti WP melarang ESQ diadakan di Wilayah Persekutuan. Kami terima kedua-dua keputusan. Namun, apa yang lebih penting daripada semua ini adalah kami tidak ingin akhlak buruk dan imej Islam sendiri tercalar, apatah lagi ini soal khilafiah, perselisihan pandangan ulamak.

Lalu ketika menerima undangan daripada Yayasan Taa’lim untuk menghantar panel ke forum ”Wajarkah ESQ diharamkan?”, saya balas dengan rasa hormat atas pertimbangan banyak perkara. Saya menyatakan bahawa kami akan mengadakan forum tertutup dan akan segera memaklumkan kepada Yayasan Taa’lim. Kita akan adakan diskusi secara ilmiah. Dan saat inipun kita tidak berhenti mengadakan forum secara tertutup. Dengan kemampuan yang terhad, kami terus menjelaskan apa itu ESQ.

Apabila ada usaha yang berterusan untuk mengharamkan ESQ, menggunakan segala kemudahan dan keewangan yang ada, maka kami terpaksa menghadapinya dengan cekal dan tabah. Benar tidak mudah, namun kami terima dengan pasrah. Kami tidak cukup waktu untuk terus berbahas di bilik-bilik seminar, ada masyarakat yang perlu diselamatkan di setiap saat; pembuangan bayi, rogol, rasuah, mat rempit, kes cerai mahupun orang-orang yang kelihatan biasa-biasa, namun dijiwa dan hatinya kering tandus dari mencintai Allah swt dan Rasulullah.

Dalam tempoh sukar ini, ESQ terus berusaha untuk menyampaikan kepada orang ramai bahawa akhlak yang baik akan terhasil apabila kita semua kembali kepada Rukun Agama yang tiangnya adalah Rukun Islam, Rukun Iman dan Ihsan.

Dalam tempoh sukar ini juga, ada tiga orang yang telah menerima Islam sebagai jalan hidup yang terindah. Ia hiburan dari Allah swt buat kami. Kesukaran ini mendidik jiwa kami.

Lalu, Ustaz Adli, sebagaimana permohonan maaf kami atas huluran persaudaraan untuk Ustaz mengadakan forum ini, kami sekali lagi memohon maaf kerana tidak menyambutnya. Saya hargai usaha Ustaz, dua surat yang Ustaz hantar ’mendesak’ kami untuk menerima undangan, atas alasan kerana pihak Ustaz telah mengiklankan kehadiran ESQ. Saya juga terkilan, kenapa mengumumkan kehadiran ESQ sedangkan kami tidak pernah memberi persetujuan.

Dan kelmarin, saya dapat tahu antara panelnya adalah panel dari Indonesia, KH Amin Djamaluddin. Saya tahu siapa KH Amin Djamaluddin, namun cukuplah saya simpan siapa dia untuk kami sendiri.

Kami mengambil panduan Imam al-Ghazali untuk menjaga kemurnian akhlak. Kerana Allah swt agar kasih sayang sesama umat terus kita jaga. Hormati kami atas perkara ini.

Kami akan undang Yayasan Taa’lim di dalam forum tertutup nanti, setelah Bpk Ary Ginanjar selesai umrah dan semua panel mengesahkan kehadiran mereka. Kami ingin adakan dalam semangat persaudaraan yang utuh... agar darah para syuhada’ yang gugur di Perang Badar tidak kita sia-siakan.... Islam itu indah... 

Salam ukhuwwah fillah untuk Yayasan Taalim dan semua panel yang akan bercakap pagi ini, ”Wajarkah ESQ diharamkan?”.  Semoga Islam tidak tercalar.

No comments:

Post a Comment